Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa, mengkritik tindakan PAS yang disifatkan hanya menunggang isu adendum dan perhimpunan solidariti untuk kepentingan politik sempit.
Menurutnya, langkah PAS menyertai Himpunan Solidariti Najib aru-baru ini menunjukkan parti itu lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding prinsip Islam yang sering dilaungkannya.
“Perhimpunan tersebut dijadikan medan untuk memburukkan serta memfitnah kerajaan perpaduan dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim,” ujar Mujahid dalam satu kenyataan, hari ini.
Politik Machiavelli PAS
Dr Mujahid turut mendakwa PAS mengamalkan politik Machiavelli, di mana segala tindakan yang dilakukan dianggap halal asalkan matlamat politik tercapai. Hal ini, katanya, jelas bertentangan dengan nilai Islam yang sebenar.
“PAS hanya menggunakan prinsip hukum mengikut selera politik mereka. Pendekatan ini bukan sahaja merosakkan imej Islam tetapi juga mencetuskan polemik yang menggugat kestabilan negara,” tambahnya.
Dia juga mengingatkan bahawa PAS pernah menjadi antara pengkritik tegar Najib Razak semasa skandal 1MDB memuncak, namun kini bersikap oportunis dengan menyokong perhimpunan solidariti untuk bekas perdana menteri tersebut.
Perlu berwaspada
Tindakan PAS meneruskan perhimpunan itu walaupun diarahkan oleh polis Negara supaya membatalkannya turut mendapat kritikan daripada Mujahid. Dia menyifatkan langkah tersebut sebagai membuktikan kesediaan PAS mengutamakan kepentingan politik sempit di atas prinsip undang-undang.
“PAS tidak layak menjadi teladan sebagai parti yang memperjuangkan Islam, apatah lagi sebagai pejuang Melayu,” tegas Mujahid.
Sehubungan itu, bekas menteri agama itu menyeru rakyat untuk mengenali watak sebenar” PAS yang menurutnya kerap berubah-ubah mengikut musim dan kepentingan politik semasa.
Menurut Mujahid, rakyat perlu berwaspada terhadap pendekatan politik PAS yang oportunis dan tidak mencerminkan nilai-nilai Islam sebenar. Dia menekankan bahawa hanya melalui perpaduan dan politik berprinsip, kestabilan dan keharmonian negara dapat dipelihara.