Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa kata Anwar ganti orang utan, penyu jadi maskot, kata Tun Faisal
Diterbitkan:  Jan 10, 2025 11:37 AM
Dikemaskini: 5:10 AM

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz secara sinis mencadangkan agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijadikan maskot pelancongan negara.

Mengulas kenyataan presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), semalam yang berpendapat Anwar adalah tarikan sebenar untuk pelancong hadir memeriahkan Tahun Melawat Malaysia 2026, Tun Faisal menasihatkan Mahadzir Mansor supaya berpada-pada sekalipun ingin mengampu.

Tun Faisal Ismail Aziz

“Tiba-tiba beruang matahari jadi maskot pelancongan Malaysia... sedangkan rakyat Malaysia pun tak sedar pasal beruang ni dan rasanya belum pernah ia menjadi tarikan pelancong ke Malaysia dan bukan sinonim dengan atau tidak reflektif kepada imej Malaysia.

“Sebelum ini maskot yang dikaitkan dengan Malaysia adalah orang utan dan penyu. Kalau pasukan sukan, dikaitkan dengan Harimau Malaya.

“Memandangkan Anwar adalah tarikan terbaru pelancongan, apa kata gantikan saja orang utan dan penyu dengan Anwar,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Semalam, Mahadzir dipetik oleh media sebagai berkata perdana menteri adalah produk pelancongan untuk Malaysia.

“Ramai orang tidak tahu ini, tarikan orang datang ke Malaysia adalah kerana usaha Anwar dan kepimpinan, jadi PM adalah produk pelancongan kita,” katanya.

Kenyataan itu hadir di tengah-tengah kritikan berhubung video Tahun Melawat Malaysia 2026, yang tidak memasukkan imej masjid dalam video berkenaan.

Montaj video tersebut menampilkan beberapa destinasi pelancongan popular seperti Petaling Street dan Pasar Seni, Kuil Batu Caves, Gereja Christ di Melaka (yang dibina oleh Belanda), Gua Mulu di Sarawak, dan Skywalk Langkawi.

Selepas dikritik, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing menjelaskan bahawa video itu hanyalah video teaser dan imej masjid akan dimasukkan dalam video promosi yang lebih panjang.

Tun Faisal dalam hantarannya turut menegur Presiden MiTDA.

“... agak-agak la kalau membodek pun,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS