Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 untuk setiap murid tahun satu hingga tingkatan empat bagi sesi persekolahan 2024/2025 bermula 13 Jan ini.
KPM menerusi kenyataannya memaklumkan agihan BAP sebanyak RM150 untuk pelajar tingkatan enam semester dua dan murid tahun satu sesi persekolahan 2025/2026 pula akan dilaksanakan mulai 16 Feb.
Agihan kepada pelajar tingkatan enam yang baru akan bermula 1 Julai.
“Kerajaan Madani memperuntukkan RM791.25 juta khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid.
"Pada tahun ini, buat pertama kali inisiatif BAP akan turut diperluaskan kepada pelajar tingkatan enam,” kata KPM.
Menurutnya lagi agihan BAP kepada murid akan dilakukan oleh pihak sekolah menggunakan kaedah serahan tunai kepada ibu bapa bagi sekolah rendah, ibu bapa atau murid (sekolah menengah), pengkreditan ke akaun bank murid atau pengkreditan ke akaun bank ibu bapa (mulai 2025).
“Inisiatif BAP menyerlahkan keprihatinan kerajaan Madani membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan,” katanya.
- Bernama