Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal rasuah Sabah: Masidi buka mulut
Diterbitkan:  Jan 10, 2025 10:24 AM
Dikemaskini: 2:27 AM

Menteri Kewangan Sabah, Masidi Manjun berkata dia telah "melangkah ke hadapan" berhubung dakwaan rasuah terhadapnya yang berkaitan dengan pemberian lesen penerokaan perlombongan di negeri itu.

"Secara peribadi, saya berpindah keluar dari isu itu supaya saya boleh melakukan tugas saya. Ini bagi saya adalah... saya tidak tahu apa yang anda panggil, tapi bagi saya ia adalah satu kekecewaan.

"Tapi, ia tidak sepatutnya menghalang kita daripada melakukan tugas kita. Pada akhirnya, kita dipilih sebagai wakil rakyat, jadi kita sepatutnya melakukan tugas kita sebagai wakil rakyat.

"Biarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan penyiasatan dan saya yakin mereka akan melakukannya dengan jelas," katanya seperti dipetik media tempatan.

Masidi berkata dia sentiasa bersedia membantu siasatan SPRM dan terbuka untuk memberi keterangan tambahan jika diperlukan.

"Saya rasa kita perlu percaya kepada SPRM untuk menjawab persoalan ini.

“Saya bersikap jelas, saya gembira untuk bekerjasama, tapi saya sudah datang tanpa dihubungi SPRM bagi menjawab persoalan ini.


BACA BERKAITAN:

‘Duit tunai dalam beg galas’ - RM300k dikait menteri kewangan Sabah

Masidi sukarela hadir ke SPRM, dakwa tak tahu pasal 'reserve RM1 juta'


"Walaupun mereka tidak hubungi saya, saya jumpa kerana sebenarnya tiada apa-apa yang perlu disembunyikan," katanya menjelaskan dia sukarela hadir ke ibu pejabat SPRM Sabah untuk memberi keterangan berkaitan isu pendedahan video rasuah Sabah.

Katanya dengan pilihan raya DUN Sabah yang semakin hampir, bahan kempen yang paling penting rekod prestasi kerajaan yang boleh dinilai oleh rakyat.

Dakwaan pendedah maklumat

Menurut laporan media tempatan, Masidi diminta mengulas mengenai klip video yang dikeluarkan oleh seorang pemberi maklumat.

Dalam video itu, pemberi maklumat didengar “menyatakan hasrat untuk membuat sumbangan politik kepada parti melalui seorang pembantu, yang akhirnya tidak menjadi kenyataan.”

Namun, pemberi maklumat itu mendakwa jumlah yang ditawarkan bukanlah sumbangan politik tetapi rasuah yang berkaitan dengan lesen perlombongan.

Dalam video berkaitan dengan Masidi, pemberi maklumat mendakwa telah menyerahkan RM300,000 kepada menteri berkenaan.

Video sama juga memaparkan pertemuan antara ahli perniagaan itu dengan pembantu Masidi, Johari Suhaimin.

“Anda berada di pejabat (menteri) ketika saya membawa beg (berisi wang tunai)… yang saya serahkan kepada menteri?” tanya ahli perniagaan itu, yang mana Johari mengesahkannya.

Bulan lalu, pemberi maklumat itu turut mendedahkan mesej Whatsapp dengan Masidi dan ahli politik lain yang terlibat selepas Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mencadangkan wang tersebut mungkin sumbangan politik.

Pemberi maklumat itu mendakwa Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan, ditawarkan RM3 juta dan 15 peratus "saham percuma" dalam sebuah syarikat yang memohon lesen penerokaan mineral.

Insentif ini didakwa sebagai habuan untuk bantuannya.

Bagaimanapun, Masidi dan pembantunya menafikan dakwaan tersebut.

Semalam, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking menuduh SPRM tidak bertindak berhubung skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang didakwa itu.

“Darah saya macam mendidih memikirkan tiada tindakan diambil terhadap pelaku rasuah yang didakwa.

"SPRM macam tidak bertindak dan mereka yang dituduh macam relaks saja dan tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS