Peguam negara (AG) mungkin sengaja tidak bertindak mencabar kesahihan titah tambahan (adendum) daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16 kerana bimbang akan memberi kesan tidak baik kepada baginda.
Pakar undang-undang, Zulqarnain Lukman, berkata ketika ini isu adendum - yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Najib Razak, perlu ditangani dengan berhati-hati.
Berhujah bahawa ia sesuatu yang baru, sebarang kesilapan boleh memberi kesan kepada Istana Negara atau institusi raja.
"Najib sudah bawa kes ini ke mahkamah. Kalau peguam negara bawa (ke mahkamah) akan jadi redundancy of proceedings (pertindihan kes) dan mungkin juga akan mendatangkan aib (embarrassment) kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada Malaysiakini.
Pengamal undang-undang yang memiliki ijazah doktor falsafah berhubung perlembagaan negara itu ditanya mengenai alasan mengapa Jabatan Peguam Negara tidak mencabar adendum itu di mahkamah.
Adendum itu terkait dengan usaha Najib mendapatkan kebenaran pihak berkuasa untuk menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah berbanding terus ditahan di Penjara Kajang.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).
SRC ketika itu merupakan anak syarikat 1MDB.
Ketika ini Najib juga sedang dibicarakan untuk kes melibatkan syarikat pelaburan milik negara yang skandalnya menggegarkan dunia sebelum ini.
Pada 6 Jan lalu Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan adendum berkenaan sekadar khabar angin (hear say).
Dengan keputusan Mahkamah Rayuan itu, kes berkenaan dikembalikan ke mahkamah tinggi.
Kerajaan didakwa menyembunyikan adendum tersebut - yang dikeluarkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Baginda merupakan Agong ketika itu.
Sepucuk surat daripada Istana Pahang dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan bagi mengesahkan titah tambahan tersebut memang wujud.
Terkandung dalam perlembagaan
Kata Zulqarnain ketika ini kerajaan mungkin sedang menunggu hasil perbicaraan kes tersebut di mahkamah tinggi.
"Walau apa pun keputusan kes Najib nanti, akan jadi panduan sama ada titah adendum itu mempunyai kuat kuasa undang-undang atau sebaliknya," katanya.
Mengulas lanjut Zulqarnain berkata titah tambahan Yang di-Pertuan Agong bersifat non-justiciable iaitu tidak dapat dibawa ke mahkamah untuk diadili atau tiada kemungkinan untuk diputuskan oleh sistem kehakiman.
Katanya, seseorang Agong juga kebal (immune) daripada saman sivil kecuali melalui mahkamah khas.
"Selain itu ada kaedah lain (untuk menyelesaikan kemelut adendum Najib) yang boleh diteroka seperti memanggil mesyuarat lain untuk lembaga pengampunan," katanya.
Zulqarnain menambah, adendum itu juga akan menjadi persoalan penting kepada mahkamah tinggi nanti, termasuk dari aspek ketulenan atau proses penerbitannya.
"Satu perkara lagi, isu berkaitan titah diraja ini adalah sesuatu yang di luar perbicaraan mahkamah (non-justiciable).
"Namun, dalam konsep raja berperlembagaan semua orang perlu patuh kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
"Kuasa untuk pengampunan ini terkandung dalam perkara 42 perlembagaan.
"Maka, kelak ada kewajaran juga bagi mahkamah untuk meneliti titah adendum ini sama ada bertepatan dengan kehendak perkara 42 sebelum ia dilaksanakan kerana setiap hakim telah bersumpah semasa mengambil jawatan itu untuk memelihara Perlembagaan Persekutuan," katanya.