Setiap kerajaan dalam dunia memiliki hak untuk mengkaji semula perjanjian yang telah dibuat. Ini termasuklah perjanjian bekalan air Malaysia dengan pihak Singapura.
Kajian terhadap perjanjian air ini perlu dilakukan kerana ia dilihat terlalu murah serta merugikan pihak Malaysia. Langkah yang ingin diambil dalam perkara ini adalah amat wajar kerana harga air yang dibayar oleh Singapura kepada Malaysia adalah terlalu kecil serta tidak sesuai dengan keadaan masa kini.
Harga bekalan air yang telah lama dibuat ini juga dilihat tidak logik serta tidak masuk akal lagi. Air kini sudah menjadi satu komoditi penting bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia. Dengan perubahan cuaca yang berlaku di seluruh dunia, air amat bernilai. Oleh itu, amat wajar sekiranya bekalan yang penting ini dibayar mengikut dengan keadaan dan suasana semasa sesuai dengan nilai sebenar air berkenaan.
Isu bekalan air Malaysia ke Singapura adalah merujuk kepada perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Singapura. Bekalan air ke Singapura sentiasa menjadi beban politik kepada kerajaan Malaysia buat sekian lama kerana ia dianggap sebagai menguntungkan pihak kerajaan Singapura dari banyak segi. Ini terutamanya kerana kerajaan Singapura hanya membayar tiga sen bagi setiap seribu gelen.
Singapura menandatangani tiga perjanjian dengan Johor iaitu Perjanjian Hak Air pada 1927, Perjanjian Air pada 1961 dan Perjanjian Air pada 1962. Mengikut perjanjian semasa, Malaysia membekalkan Singapura dengan 250 juta gelen air mentah setiap hari pada kadar tiga sen setiap 1,000 gelen. Malaysia kemudian membeli semula sebahagian daripada bekalan itu pada kadar 50 sen setiap 1,000 gelen.
Seperti juga Singapura, Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat mempunyai segala hak untuk melihat dan mengkaji kembali terhadap segala perjanjian yang telah dibuat. Tidak menjadi satu dosa atau kesalahan besar untuk pihak kerajaan Malaysia melihat dan mengkaji kembali terhadap perjanjian air yang telah lama dibuat itu demi mendapatkan keadilan dan hak sama rata antara kerajaan Malaysia dan Singapura.
Dalam sesuatu kontrak atau perjanjian, kemungkinan wujud klausa atau peruntukan tertentu yang membenarkan semakan dibuat dengan mengambil kira keadaan semasa yang sudah berubah berbanding lebih 50 tahun dahulu.
Bagi mengkaji semula perjanjian air, disarankan supaya kerajaan Malaysia mendapatkan semua salinan perjanjian air lebih setengah abad lalu serta menyerahkannya kepada pejabat peguam negara untuk dikaji dengan sedalam-dalamnya.
Ini bagi mengenal pasti sebarang ruang atau peluang bagi kerajaan Malaysia menilai semula perjanjian yang sudah ketinggalan zaman berkenaan dari sudut perundangan.
Kerajaan juga boleh mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji perjanjian itu. Jawatankuasa terbabit boleh dianggotai oleh pakar-pakar perundangan kontrak seperti peguam dan ahli akademik.
Namun, apa yang paling penting, sebarang jenis perjanjian perlulah adil dan saksama, mesti menang-menang buat kedua-dua negara.
DR MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah Profesor Madya Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.