Sebuah kumpulan yang menyokong Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berikrar untuk mengadakan demonstrasi balas yang lebih besar sebagai tindak balas kepada rancangan Gempur Rasuah Sabah untuk mengadakan demonstrasi kedua.
Ketua Penasihat Gerakan Bangkit Sabahan Zulkarnain Mahdar berkata, sekiranya dibenarkan oleh polis, dia mendakwa perhimpunan balas itu akan menjadi 20 hingga 30 kali ganda lebih besar, dan akan diadakan pada masa dan tempat yang sama dengan demonstrasi Gempur Rasuah Sabah.
“Perhimpunan ini juga akan diketuai oleh pelajar mahasiswa UMS (Universiti Malaysia Sabah)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Gerakan Bangkit Sabahan mengumumkan rancangan untuk memfailkan saman RM5 juta terhadap penganjur dan peserta perhimpunan Gempur Rasuah Sabah pada 31 Dis.
Kumpulan itu juga telah mengadakan demonstrasi balas semasa perhimpunan 31 Dis, menarik kira-kira 1,000 orang berbanding kira-kira 50 orang di perhimpunan antirasuah anjuran Gempur Rasuah Sabah.
Gempur Rasuah Sabah - yang diterajui oleh pelajar UMS - memberitahu Malaysiakini semalam bahawa mereka tidak gentar dengan ancaman saman dan merancang untuk mengadakan demonstrasi kedua bagi menunjukkan mereka bertekad untuk bersuara menentang rasuah.
Sementara itu, Zulkarnain menegaskan Gerakan Bangkit Sabahan juga menentang rasuah, tetapi mempersoalkan mengapa Gempur Rasuah Sabah hanya menggesa Hajiji dan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman meletakkan jawatan meski mereka tidak pernah disabitkan kesalahan oleh mana-mana mahkamah di Malaysia.
Katanya, tujuan demonstrasi balas itu adalah semata-mata untuk "memberi kesedaran kepada pelajar UMS yang terlibat supaya mereka tidak melemparkan fitnah jahat terhadap Hajiji dan Musa".
Dia juga menyorot bahawa Presiden Warisan Shafie Apdal sebelum ini direman bagi memudahkan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion dana pembangunan luar bandar untuk Sabah.
Selain itu, Zulkarnai juga berkata Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat Peter Anthony menghadapi perbicaraan kerana memalsukan dokumen, manakala Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin dibicarakan atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM2.8 juta.
“Atas alasan itu kami berpandangan pelajar-pelajar dan alumni UMS ini sebenarnya digunakan oleh pihak tertentu untuk mewujudkan presepsi tidak baik ke atas kerajaan GRS-PH di Sabah," kata Zulkarnain.
Zulkarnain menambah bahawa Gerakan Bangkit Sabahan bersedia untuk bergabung tenaga dengan pelajar dalam demonstrasi mereka sekiranya memasukkan Shafie, Peter, dan Bung Moktar dalam senarai tuntutan mereka.
Perlu diingat bahawa Shafie, Peter, dan Bung Moktar pada masa ini tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah, tidak seperti Hajiji dan Musa.
Gempur Rasuah Sabah menuntut Hajiji meletak jawatan atas dakwaan rasuah terhadapnya dan beberapa Adun Sabah.
Ia juga menyatakan bantahan terhadap pelantikan Musa, yang telah dikritik secara meluas kerana dakwaan rasuah yang dihadapinya pada masa lalu.
Hajiji sebelum ini telah menafikan dakwaan terhadapnya dan menyifatkan video yang didedahkan pemberi maklumat berhubung skandal itu sebagai "diedit".
Hajiji juga berkata dakwaan itu tidak berasas, namun dia kemudiannya mencadangkan bahawa perbualan yang dirakam itu mungkin mengenai derma politik.
Musa didakwa pada 2018 atas dakwaan rasuah RM263 juta, tetapi dibebaskan selepas pihak pendakwaan menggugurkan pertuduhan sebelum kes itu dibicarakan.