Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Warisan dakwa SPRM tak bertindak kes rasuah Sabah
Diterbitkan:  Jan 9, 2025 9:03 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Seorang pemimpin Warisan menuduh SPRM tidak bertindak berhubung dakwaan rasuah dan skandal salah guna kuasa di negeri itu.

Dalam catatan Facebook, Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata “darahnya mendidih” apabila melihat semula temu bual eksklusif KiniTV dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Mineral Sabah (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon kerana tiada tindakan diambil terhadap pihak yang didakwa terlibat rasuah.

“SPRM macam tidak saja bertindak dan mereka yang dituduh macam bertenang saja dan seperti tak ada apa-apa yang berlaku.

"Kita tidak boleh abaikan episod skandal melibatkan Sabah ini. Kita mesti teruskan melawan kerana pihak berkuasa terus-menerus mengabaikan episod skandal Sabah ini," kata Adun Moyog itu.

Pada November tahun lalu, suasana politik Sabah digemparkan dengan pendedahan oleh Malaysiakini, yang melaporkan pemberi maklumat yang mendakwa mempunyai bukti rasuah melibatkan lapan Adun, termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor.

Pemberi maklumat kemudiannya mengeluarkan video eksklusif melalui KiniTV yang menampilkan Jontih, yang mendakwa Hajiji telah melindungi kepentingan kontraktor tertentu.

Jontih juga menegaskan dia mempunyai bukti terhadap Hajiji dan menafikan sebarang pakatan sulit dengan pemberi maklumat di sebalik video rasuah itu.

Hajiji sebelum ini menafikan dakwaan terhadapnya dan menyifatkan klip video yang didedahkan pemberi maklumat sebagai "diedit".

Dia berkata dakwaan rasuah itu tidak berasas, meski kemudiannya mencadangkan bahawa perbualan yang dirakam itu mungkin mengenai derma politik.

Pada 3 Jan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan bahawa penyiasat sedang menyiasat skandal rasuah itu dan dijangka menyelesaikan siasatan mereka pada akhir Januari.

Setelah berulang kali menonton wawancara itu, Darell mengulangi gesaannya untuk menamatkan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah di Sabah.

“Rasuah bukan norma. Ia adalah jenayah serius yang memusnahkan masa depan Sabah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS