Sudah tiga hari berlalu sejak Mahkamah Rayuan membenarkan Najib Razak meneruskan semakan kehakiman dalam usaha bekas perdana menteri itu mendapatkan kebenaran agar dia boleh menghabiskan tempoh hukuman penjaranya di rumah.
Sejak keputusan itu dibuat juga, sejumlah pemimpin kerajaan membuat kenyataan berkenaan titah tambahan (adendum) tersebut serta isu-isu berkaitan.
Ada antara mereka menegaskan bahawa kerajaan tidak menyembunyikan apa-apa di sebalik pelbagai dakwaan dibuat pihak pembangkang.
Sesetengah yang lain pula enggan terheret ke dalam kontroversi.
Seorang menteri pula menolak gesaan untuk menyah klasifikasi minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan agar tanda tanya dan polemik mengenai adendum berkenaan terungkai.
Cadangan berkenaan dibuat oleh seorang pegawai kanan perdana menteri.
Malaysiakini mengumpulkan komen-komen pemimpin kerajaan berhubung isu itu setakat ini.
Anwar Ibrahim enggan melayan gesaan PAS agar dia melepaskan jawatan perdana menteri selepas mendakwa dia "menyembunyikan" adendum berkenaan.
Ditanya wartawan mengenai perkara itu pagi tadi, Anwar hanya tersenyum sambil berkata "oooh" sebelum berlalu bersama rombongannya.
Dalam temu bual dengan kumpulan Media Prima semalam, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kerajaan perlu mendedahkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bagi menamatkan kemelut yang melatari isu adendum dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad
"Saya harap perkara ini (nyah sulit) dapat dipertimbangkan oleh kabinet supaya rakyat tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat (lembaga pengampunan) itu, apa pandangan telah dikemukakan serta keputusan diambil Al-Sultan Abdullah ketika itu," katanya dipetik BH Online.
Kata Dr Zaliha Mustafa, minit mesyuarat yang membincangkan rayuan Najib Razak akan kekal sulit dan tidak boleh didedahkan kepada umum.
Dia menyatakan hal tersebut kepada media di Putrajaya selepas diminta memberi komen kepada saranan Shamsul Iskandar.
Bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh tetap enggan memberi komen apabila ditanya oleh media sama ada titah tambahan untuk Najib benar-benar wujud atau sebaliknya.
Dia ditanya pemberita di luar acara Pembukaan Tahun Undang-undang 2025 di Putrajaya semalam.
Dusuki juga enggan memberikan sebarang kenyataan apabila ditanya media di majlis yang turut dihadiri Ahmad Terrirudin.
Ketika ditanya semasa sidang media mingguan kerajaan semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menafikan kerajaan menyembunyikan adendum berkenaan.
"Sejujurnya tidak disorok... saya sendiri sebagai menteri komunikasi tidak ada menerima, melihat, ataupun dimaklumkan tentang dokumen tersebut dan saya percaya perkara ini (berlaku begitu) sebab ia melibatkan lembaga pengampunan.
"Kerajaan juga mengambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini dikembalikan semula ke mahkamah tinggi.
"Maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut," katanya.
Dalam sidang medianya pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan Jabatan Penjara Malaysia tidak pernah menerima adendum yang dibangkitkan itu.
Katanya, pada 2 Feb tahun lalu - selaras dengan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan - surat daripada Biro Hal Ehwal Undang-undang telah dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri dan jabatan penjara.
Surat itu, kata Saifuddin, mengandungi dua perkara iaitu minit mesyuarat lembaga pengampunan, diikuti arahan kepada jabatan penjara.
Ia ditandatangani oleh Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ketika itu dan disaksikan oleh Zaliha.
Menurut Saifuddin, surat itu hanya menunjukkan keputusan untuk meringankan hukuman Najib iaitu mengurangkan separuh tempoh penjaranya kepada enam tahun, dan merendahkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Dalam reaksi segera terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Jan lalu, Ahmad Zahid berkata, Umno menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib.
"Umno memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh buat datuk Seri Najib selaras kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Pemimpin kanan DAP, Anthony Loke, mengecam Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dianggapnya sengaja mahu mengaitkan parti tersebut dalam kontroversi melibatkan kes Najib.
Kata Loke, tindakan tersebut bersifat keji dan ulangan politik PAS yang hanya mahu menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu yang berbangkit.