Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perjumpaan dengan Raja Abdullah tak disebut dalam surat derma Arab - Najib
2

Najib Razak mengakui pertemuannya pada 2010 dengan almarhum raja Arab Saudi, Raja Abdullah tidak dirujuk secara khusus dalam salah satu daripada empat surat Arab yang didakwa menjanjikan derma kepada bekas perdana menteri itu.

Najib menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar jika surat 1 Feb 2011 menyebut mengenai pertemuan itu.

"Ia tidak ada sebut," kata Najib yang juga bekas menteri kewangan, sambil menambah ia tidak menyebut secara langsung pertemuan itu.

Najib mendakwa bahawa Raja Abdullah dalam mesyuarat 2010 menjanjikan sokongan kewangan kepadanya, dan dia mendakwa empat surat Arab - dikeluarkan antara 1 Feb 2011, hingga 1 Jun 2014 - menjanjikannya derma AS$100 juta, AS$375 juta, AS$800 juta , dan £50 juta.

Najib bergantung kepada kepercayaannya terhadap derma Arab sebagai pembelaan terhadap empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana 1MDB.

Dalam surat yang dikatakan itu, Putera Arab Saud Abdulaziz Majid Al-Saud didakwa menjanjikan Najib dana itu sebagai hadiah yang merupakan pengiktirafan penting terhadap sumbangan besar bekas perdana menteri itu kepada dunia Islam.

Keempat-empat surat itu dialamatkan kepada kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur.

Semasa perbicaraan 1MDB di hadapan Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya petang ini, Kamal bertanya sama ada Saud Abdulaziz hadir pada mesyuarat 2010. Najib menjawab penulis surat itu tidak hadir kerana ia adalah mesyuarat pemimpin peringkat negeri.

Kamal: Bagaimana mereka (kerabat raja Arab yang didakwa menulis surat derma) tahu alamat anda (yang ditulis dalam surat)?

Najib: Saya tidak pasti.

Kamal: Anda tak pernah terfikir dari mana mereka tahu alamat anda?

Najib: Alamat saya adalah maklumat umum.

Kamal: Adakah ia (alamat Najib) di laman web?

Najib: Saya tidak pasti, tetapi ramai yang tahu.

Kamal: Saya tidak tahu (sebelum kes 1MDB).

Najib: Kalau ikhtiar pasti jumpa.

Bekas perdana menteri menjelaskan bahawa mesyuarat pada 2010 itu telah diatur oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low), yang mempunyai hubungan rapat dengan kerabat Saudi.

Najib berkata semasa pertemuan peribadi dengan Raja Abdullah - di mana delegasi Malaysia tidak menyertainya - almarhum didakwa membuat janji sokongan kewangan.

"Saya berbincang dengan Raja Abdullah mengenai hasrat kerajaan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan strategik dengan Arab Saudi dalam setiap bidang, ekonomi, diplomatik, dan juga urusan haji," kata Najib sambil menambah bahawa Raja Abdullah kemudian menjanjikan bantuan kewangan.

Najib tidak bersetuju dengan dakwaan Kamal bahawa Raja Abdullah tidak pernah membuat janji bantuan kewangan.

Sementara itu semasa perbicaraan, tertuduh juga tidak bersetuju dengan dakwaan pihak pendakwaan bahawa hujah pembelaannya tidak dinyatakan dengan jelas hanya hadir lewat dalam perbicaraan.

Najib menafikan hujah timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib ketika pemeriksaan balas, mendakwa dia membangkitkan isu kekurangan kejelasan pertuduhan pada awal perbicaraan yang bermula pada 2019.

Akram: Saya nyatakan kepada anda bahawa (dakwaan) anda tidak memahami pertuduhan melalui saksi pendakwaan ke-49 (pegawai penyiasat SPRM Nur Aida Arifin ketika dia didakwa oleh pasukan undang-undang Najib) hanyalah percubaan anda untuk menimbulkan cabaran teknikal di mahkamah pada saat akhir dalam kes ini seperti yang anda tahu keterangan terhadap anda - daripada saksi pendakwaan pertama hingga saksi pendakwaan ke-48 - adalah sangat kuat.

Najib: Saya tidak bersetuju.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah disambung esok.

Pada 30 Okt, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana daripada 1MDB.

Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie (boleh bertanggungjawab) terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu.

Hakim memutuskan Najib perlu menjawab pertuduhan berikutan kekuatan pelbagai 50 keterangan saksi semasa peringkat prosiding pendakwaan yang berlangsung enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.

Sejak keputusan prima facie, Najib telah memberi keterangan dalam pembelaannya terhadap tuduhan jenayah 1MDB.

Tertuduh menegaskan bahawa dia tidak tahu tentang salah laku di 1MDB, dan penyelewengan di syarikat itu didalangi oleh Low dan ahli pengurusannya.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS