Kerajaan akan memajak lebih banyak gerabak bagi perkhidmatan kereta api dari Padang Besar, Perlis, ke Johor Bahru untuk meningkatkan kapasiti kepada 50 peratus menjelang 2030, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata kerajaan komited melaksanakan langkah itu bagi menyokong keperluan pengangkutan ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Kita mempunyai perkhidmatan komuter landasan berkembar dari Perlis ke Johor Bahru, dan kerajaan telah memutuskan untuk memajak gerabak kereta api. Ini kerana kapasiti landasan kereta api kita hanya 30 peratus disebabkan oleh gerabak yang terhad.
“Kita berharap dapat meningkatkannya melebihi 50 peratus dan kerajaan komited untuk melaksanakannya,” katanya semasa sesi perbincangan Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 bertajuk, “From Made in Malaysia to Made by Malaysia” (Daripada Buatan di Malaysia kepada Buatan Malaysia), di Kuala Lumpur, hari ini.
Jarak perjalanan kereta api dari Padang Besar ke Johor Bahru adalah sejauh 692 kilometer.
Sementara itu, Rafizi berkata kerajaan telah mengumpul data yang mencukupi dan sedang di peringkat akhir membentangkan cadangan kepada Kabinet untuk menghapuskan klasifikasi pendapatan B40, M40 dan T20 secara berperingkat.
Beliau berkata pengumuman akan dibuat dalam tempoh beberapa minggu lagi mengenai kelayakan untuk pengagihan bantuan dan pengenalan mekanisme baharu berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.
- Bernama