Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Minit mesyuarat lembaga pengampunan sulit, tak akan didedah
Diterbitkan:  Jan 9, 2025 4:24 PM
Dikemaskini: 9:14 AM

Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengenai bekas Perdana Menteri Najib Razak akan kekal sulit dan tidak akan didedahkan kepada umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, yang juga ahli lembaga pengampunan berkenaan, mengulangi bahawa butiran mesyuarat adalah diklasifikasikan secara ketat.

"Minit mesyuarat (lembaga pengampunan) adalah perkara sulit. Jadi kita tak boleh buat perkara (dedah butiran kepada umum) itu.

"Itu (minit mesyuarat) hanya hak lembaga pengampuran," katanya, seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Dia juga dipetik berkata bahawa minit mesyuarat itu adalah hak prerogatif lembaga pengampunan.

Awal hari ini, Zaliha mengelak daripada menjawab pertanyaan media semasa acara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, menjawab secara ringkas, "Nanti, nanti, nanti," apabila ditanya mengenai isu itu.

Ini berlaku selepas Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mencadangkan agar lembaga pengampunan mendedahkan butiran mesyuarat untuk menamatkan spekulasi mengenai titah adendum itu.

Pada 6 Jan, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib meneruskan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah yang oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung tahanan rumah Najib..

Istana Pahang kemudian mengesahkan bahawa Sultan Abdullah menitahkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.

Pengesahan itu susulan afidavit yang difailkan pada 5 Dis oleh anak Najib, Nizar, mendakwa Sultan Abdullah telah memaklumkan kepadanya tentang titah adendum berkenaan.

Titah adendum itu adalah titah tambahan kepada titah diraja utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun Najib dan denda RM210 juta kepada hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.

Hukuman itu adalah berhubung salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) dan kes pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS