Gara-gara hantaran palsu melibatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, seorang Adun PAS disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan mungkin berdepan dengan tindakan lanjut.
Adun Sungai Burong, Mohd Zamri Mohd Zainuldin, dipanggil oleh pihak berkuasa dan memberikan keterangan berkaitan isu tersebut pada 7 Jan lalu.
Menurut MCMC, mereka menerima aduan daripada orang ramai berkaitan hantaran tidak benar melibatkan Anwar baru-baru ini.
Kata MCMC, siasatan mendapati kebanyakan akaun berkenaan adalah palsu namun satu daripadanya milik Mohd Zamri - atau lebih dikenali sebagai Ustaz Zamri Mantop.
"Susulan itu, MCMC telah merakam percakapan Adun berkenaan bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Dalam pemeriksaan yang dijalankan bersama PDRM, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan," katanya.
Tambah MCMC, analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.
Mohd Zamri sebelum ini dikenali ramai sebagai personaliti TV kerana terlibat dalam beberapa program termasuk rancangan realiti seperti Akademi al-Quran dan Ustaz Zamri Bercerita.
Baru-baru ini tular hantaran yang mendakwa Anwar "menderhaka" kononnya kerana mengajak orang ramai berhimpun memberi sokongan kepada seorang aktivis PKR yang didapati bersalah oleh mahkamah.
Bagaimanapun hantaran yang dikaitkan dengan Mohd Zamri itu kemudian didapati disunting kemudian sebelum diturunkan oleh "admin" akaun media sosial berkenaan.
"Mohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan berjanji ia tidak akan berulang kembali - Admin," tulis hantaran tersebut.