Selepas beberapa bulan menjalani proses pemulihan, kerajaan Selangor menyatakan lebih 100 kanak-kanak atau remaja yang diselamatkan dari presmis kendalian GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) semakin menunjukkan perkembangan positif.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Fahmi Ngah, berkata antara perubahan yang dilihat ialah mereka tidak lagi menghimpunkan semua 17 rakaat solat wajib untuk dilaksanakan serentak.
Sedangkan, katanya, sebelum ini mereka mengamalkan kaedah mencampurkan semua rakaat dari solat Subuh hingga ke Isyak.
Selain itu, kata Fahmi, mereka juga begitu taasub kepada Asaari Muhammad - yang digelar sebagai Abuya - sehinggakan enggan menukar pakaian yang ada kerana percaya ada keberkatan padanya.
"Sekarang semua berubah dan mereka sudah boleh berkomunikasi dengan baik," katanya seperti dipetik Selangorkini hari ini.
Adun Seri Setia itu dihubungi bagi mendapatkan perkembangan terkini 124 anak-anak yang dijaga agensi kerajaan selepas diselamatkan dalam operasi pihak berkuasa pada Sept tahun lalu.
Kata Fahmi, ketika ini tempoh penjagaan ke atas kanak-kanak dan remaja berusia antara 12 hingga 18 tahun itu akan berakhir hujung bulan ini.
Jika perlu, katanya, kerajaan negeri akan memohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh berkenaan.
Pada masa sama Fahmi menjelaskan 124 kanak-kanak dan remaja terbabit masih terus dijaga kerajaan kerana pihak berkuasa gagal mengesan ibu bapa atau penjaga sah mereka - yang dipercayai terdiri daripada ahli GISBH.
Selain itu, katanya, tiada juga mana-mana pihak yang tampil menuntut untuk menjaga mereka.
“Dari segi fizikal, keadaan mereka ke arah positif. Pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa ada," katanya.
Kerajaan Selangor juga, kata Fahmi, sentiasa memastikan mereka mendapat khasiat pemakanan yang lengkap supaya dapat menikmati pertumbuhan yang seimbang.