Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun PKR lapor polis terhadap pentadbir Facebook Najib

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fahmi Zainol membuat laporan polis terhadap Eric See-To, pentadbir media sosial bekas perdana menteri, Najib Razak.

Laporan itu susulan catatan Facebook Najib, serta artikel berkaitan yang diterbitkan di Malaysiakini, kedua-duanya bertarikh 7 Jan.

“Hantaran di Facebook Najib Razak yang mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi yang turut disahkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan terkait kes SRC Interntional serta mengkritik hakim perbicaraan adalah secara jelas dan terang merupakan satu tindakan jenayah menghina mahkamah,” kata Fahmi kepada pemberita.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 1.40 tengah hari tadi.

Dalam laporan polis itu, Fahmi mendakwa catatan Facebook tersebut menjejaskan kredibiliti Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan tidak menghormati sistem kehakiman negara.

Fahmi turut mendakwa pentadbir media sosial Najib melakukan percubaan berulang kali untuk mempertikaikan integriti badan kehakiman.

"Cubaan pentadbir Facebook Najib Razak yang berkali-kali mempertikaikan kewibawaan mahkamah dengan menjadikan institusi mahkamah sengaja dicemarkan untuk mewujudkan satu skandal sehingga memberi kesan buruk kepada institusi kehakiman negara adalah tindakan keterlaluan yang bersamaan jenayah menghina mahkamah,” jelas Fahmi.

See-To mendakwa bahawa satu lagi artikel yang diterbitkan di Malaysiakini bertajuk 'Amid full pardon push, Najib's FB swipes at SRC trial judge again' tidak tepat dan perlu diperbetulkan.

Dia merujuk surat dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Ketua Hakim Negara pada 20 Feb 2023 yang tular, yang memohon tindakan terhadap hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berdasarkan siasatan SPRM.

Bagaimanapun, Fahmi menolak dakwaan See-To, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai ironi.

“Najib Razak sendiri menarik balik dakwaan rasuah terhadap hakim Nazlan melalui afidavit jawapan lanjutan yang difailkannya di Mahkamah Persekutuan.

"Panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa siasatan oleh SPRM terhadap hakim Nazlan dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman dan tidak mengikut protokol," katanya.

Fahmi berkata, Eric See-To dinamakan dalam laporan itu kerana dia mengakui secara terbuka peranannya sebagai salah seorang pentadbir media sosial Najib dalam podcast 'Yang Bakar Menteri' bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tahun lalu.

“Oleh itu laporan polis yang dibuat terhadap Eric See-To adalah bagi memastikan dirinya dipertanggungjawabkan terhadap kenyataan yang dikeluarkan.

"Bila si pelaku sering kelirukan masyarakat, cuba putar belit, ini beri kesan buruk pada rakyat.

"Kita perlu tindakan drastik dari PDRM, individu tersebut menghina mahkamah, perlu bertanggungjawab,” katanya.

Fahmi dalam pada itu turut menggesa laporan polis di seluruh negara dibuat terhadap See-To.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS