Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM patut lanjutkan tempoh perkhidmatan Tengku Maimun - Peguam

Perdana Menteri Anwar Ibrahim patut mengiktiraf sumbangan Ketua Hakim Negara yang bakal bersara, Tengku Maimun Tuan Mat dengan melanjutkan tempoh perkhidmatannya, kata seorang peguam.

Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar hari ini mengingatkan kerajaan bahawa sejak dilantik sebagai ketua hakim negara pada 2019, Tengku Maimun telah mengendalikan banyak kes berprofil tinggi yang memperkukuhkan kebebasan badan kehakiman sebagai pemutus keadilan.

Peguam veteran itu merujuk kepada pengendalian kes rayuan bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan kes penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta. Rayuan itu membawa kepada hukuman penjara terhadap Najib sejak Ogos 2022.

Syed Iskandar turut menyoroti peranan Tengku Maimun dalam prosiding Mahkamah Persekutuan tahun lalu yang membatalkan 16 undang-undang jenayah Syariah Kelantan kerana tidak berperlembagaan.

Dia menegaskan bahawa Tengku Maimun telah mempertimbangkan dan menyampaikan keputusan yang saksama walaupun berdepan tekanan luaran daripada pihak tertentu yang berkait dengan politik dan agama.

"Seperti kebiasaannya, beliau menyampaikan ucapannya (semasa Pembukaan Tahun Perundangan 2025) tanpa rasa takut atau pilih kasih. Selepas (Mohamed) Salleh Abas (ketua hakim negara yang dipecat semasa krisis kehakiman Malaysia 1988), beliau adalah yang terbaik yang dimiliki Malaysia.

"Ia akan menjadi kerugian besar kepada negara jika kita membiarkan tempoh perkhidmatannya tamat tanpa lanjutan.

"Secara asasnya, seorang ketua hakim negara yang sangat tegas dan adil adalah sesuatu yang jarang ditemui. Oleh itu, kerajaan melalui JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman), perdana menteri dan YDPA (Yang di-Pertuan Agong) patut mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatannya serta seluruh pasukannya," kata Syed Iskandar kepada Malaysiakini.

Ketua nakim negara ingatkan PM

Dalam acara semalam, Tengku Maimun menyatakan bahawa Anwar, ketika menjadi ketua pembangkang, pernah membantah Rang Undang-Undang JAC semasa sidang Parlimen pada 2008. Dia menyatakan keyakinan bahawa Anwar akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman selaku perdana menteri yang sedang berkhidmat.

Presiden PKR itu mendakwa rang undang-undang tersebut tidak mencukupi untuk memulihkan kebebasan badan kehakiman, berikutan skandal pelantikan hakim yang dikaitkan dengan peguam VK Lingam.

Berdasarkan hansard Dewan Rakyat bagi 16 hingga 17 Disember 2008, Anwar berhujah bahawa terdapat persepsi awam bahawa individu yang membuat keputusan memihak kepada kerajaan mendapat kenaikan pangkat.

Rang Undang-Undang JAC menjadi undang-undang pada 2009, dengan suruhanjaya itu diberi kuasa untuk memilih individu yang berkelayakan untuk dilantik sebagai hakim mahkamah tertinggi untuk pertimbangan perdana menteri.

Tengku Maimun menegaskan kepentingan melindungi hakim daripada pengaruh tidak wajar dan tekanan politik bagi memastikan keputusan dibuat secara adil dan berdasarkan prinsip undang-undang.

Dia juga menyatakan perlunya penilaian semula terhadap pelantikan kehakiman melalui JAC, dengan menegaskan keperluan kritikal untuk mengurangkan peranan eksekutif dalam perkara tersebut.

Tengku Maimun berkata, penambahbaikan mekanisme pelantikan kehakiman adalah penting untuk meneruskan pemulihan kebebasan badan kehakiman negara sejak krisis 1988.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS