Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hilman: Tiada salah faham, Meor gagal serah dokumen pentadbiran

Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham menafikan dakwaan wujudnya salah faham antara kepimpinan sayap parti itu dengannya.

Sebaliknya, Hilman mendakwa peletakan jawatan Exco Pemuda Bersatu, Meor Naqiuddin Shamsudin sebagai ketua Biro Profesional dan Sukarelawan Pemuda dibuat kerana bermasalah dalam menguruskan organisasi.

Kata Hilman, ini selepas Meor Naqiuddin gagal menyerahkan segala dokumen berkaitan ‘pentadbiran dan pengurusan’ kepimpinan terdahulu sayap parti itu kepada kepimpinan baru yang dilantik pada pemilihan Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu yang lalu.

Meor Naqiuddin merupakan setiausaha kerja Pemuda Bersatu sebelum dipilih sebagai exco Pemuda parti itu pada 29 November lepas.

“Tiada salah faham pun. Cuma sebagai mantan setiausaha kerja Pemuda Bersatu, beliau masih dan sehingga kini gagal untuk serahkan dokumen-dokumen pentadbiran dalam kepimpinan terdahulu.

“Pemilihan dah selesai, kena ‘move on’ dan dia harus serahkan (dokumen-dokumen pentadbiran terbabit).

“Semua dokumen pentadbiran dan pengurusan mesti diserahkan kepada kepimpinan yang baru. Kita ada penolong setiausaha dan setiausaha kerja yang baru. Itu tuntutan organisasi,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Hilman tidak mengulas lanjut alasan Meor gagal berbuat demikian.

Sebaliknya, Hilman yang juga Adun Gombak Setia berkata Meor perlu menyerahkan semua dokumen terbabit bagi meneruskan pengurusan sayap itu.

“Apa juga alasannya, beliau bertanggungjawab untuk serahkan. Tempoh beliau sebagai setiausaha kerja Pemuda Bersatu dah berakhir dan kini masa untuk bekerja,” kata Hilman.

Semalam Malaysiakini melaporkan Meor meletak jawatan sebagai ketua Biro Profesional dan Sukarelawan Pemuda parti itu, berkuat kuasa 5 Januari.

Bagaimanapun, Meor memberitahu Malaysiakini bahawa dia kekal memegang jawatan lain dalam pergerakan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Meor berkata keputusan itu diambil selepas berbeza pendirian dengan Hilman yang 'dilihat luar daripada kebiasaan' dan tidak menggambarkan amalan pentadbiran yang baik.

Pada 29 okt tahun lalu, Hilman yang juga Adun Gombak Setia diumumkan sebagai ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024-27.

Dia memperolehi 1,888 undi mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dengan perbezaan 170 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS