Exco Pemuda Bersatu, Meor Naqiuddin Shamsudin hari ini memberikan penjelasan berhubung peletakan jawatannya sebagai ketua Biro Profesional dan Sukarelawan Pemuda parti itu.
Dalam satu kenyataan, Meor berkata peletakan jawatannya itu dibuat atas sebab perbezaan pendirian dengan kepimpinan ketuanya, Hilman Idham yang 'dilihat luar daripada kebiasaan' dan tidak menggambarkan amalan pentadbiran yang baik.
“Keputusan ini diambil atas faktor perbezaan pendirian antara pihak saya dengan yang berhormat Muhammad Hilman Idham berkenaan struktur pentadbiran Pemuda Bersatu Malaysia yang dilihat luar dari kebiasaan dan tidak menggambarkan amalan pentadbiran yang baik (good governance) dengan risiko menggugat kestabilan Pemuda Bersatu seluruhnya,” katanya.
Bagaimanapun, Meor berkata dia akan terus menjalankan peranan dan tugas sebagai exco Pemuda tanpa portfolio dengan fokus memaksimumkan potensi, tenaga dan bakat ahli-ahli sayap Pemuda parti itu.
“Semoga Pemuda Bersatu terus kembang mekar sebagai wadah dan pilihan rakyat seiring dengan roh dan prinsip perjuangannya,” tambahnya.
Semalam Malaysiakini melaporkan Meor meletak jawatan sebagai ketua Biro Profesional dan Sukarelawan Pemuda parti itu, berkuat kuasa 5 Januari.
Meor merupakan setiausaha kerja Pemuda Bersatu sebelum dipilih sebagai exco Pemuda parti itu pada perhimpunan Agung Pemuda Bersatu, 29 November lepas.
‘Gagal serah dokumen pentadbiran’
Sementara itu, Hilman dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan wujudnya selisih faham antara kepimpinan sayap parti itu dengannya.
Sebaliknya, Hilman mendakwa peletakan jawatan Meor sebagai ketua Biro Profesional dan Sukarelawan Pemuda dibuat kerana bermasalah dalam menguruskan organisasi.
Kata Hilman, ini selepas Meor gagal menyerahkan segala dokumen berkaitan ‘pentadbiran dan pengurusan’ kepimpinan terdahulu sayap parti itu kepada kepimpinan baru yang dilantik pada pemilihan Perhimpunan Agung Pemuda Bersatu yang lalu.
“Tiada salah faham pun. Cuma sebagai mantan setiausaha kerja Pemuda Bersatu, beliau (Meor) masih dan sehingga kini gagal untuk serahkan dokumen-dokumen pentadbiran dalam kepimpinan terdahulu.
“Pemilihan dah selesai, kena ‘move on’ dan dia harus serahkan (dokumen-dokumen pentadbiran terbabit).
“Semua dokumen pentadbiran dan pengurusan mesti diserahkan kepada kepimpinan yang baru. Kita ada penolong setiausaha dan setiausaha kerja yang baru. Itu tuntutan organisasi,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, Hilman tidak mengulas lanjut alasan Meor gagal berbuat demikian.
Sebaliknya, Hilman yang juga Adun Gombak Setia berkata Meor perlu menyerahkan semua dokumen terbabit bagi meneruskan pengurusan sayap itu.
“Apa juga alasannya, beliau bertanggungjawab untuk serahkan. Tempoh beliau sebagai setiausaha kerja Pemuda Bersatu dah berakhir dan kini masa untuk bekerja,” kata Hilman.
Sebelum ini Hilman yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia diumumkan sebagai ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024-27.
Kemenangan itu diperoleh selepas dia memperolehi 1,888 undi mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dengan perbezaan 170 undi.