Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, hari ini mengelak soalan media sama ada Lembaga Pengampunan akan mendedahkan minit mesyuarat yang membincangkan rayuan pengampunan bekas perdana menteri, Najib Razak.
"Nanti, nanti, nanti," katanya ketika diajukan soalan itu selepas menghadiri Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi ini.
Zaliha, salah seorang anggota Lembaga Pengampunan, ditanya mengenai cadangan setiausaha politik kanan perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Semalam, Shamsul Iskandar dilaporkan berkata bahawa pendedahan perbincangan lembaga itu tentang kes Najib boleh menghentikan spekulasi mengenai titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Jan tahun lalu.
Selain itu, katanya, ia juga sebagai langkah bagi memastikan ketelusan dan menghalang sebarang manipulasi proses untuk kepentingan politik.
Cadangan itu muncul ketika kritikan pedas dilemparkan terhadap kerajaan, yang dituduh menyembunyikan titah agar Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.
Parti pembangkang turut menggunakan isu ini untuk menggesa Anwar meletakkan jawatan kerana didakwa tidak mematuhi perintah Agong.