Sekumpulan kakitangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan mengadakan piket pada pagi Jumaat (10 Januari) dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di hadapan Menara TH Perdana, Kuala Lumpur.
Menurut Presiden Kesatuan Sementara Suhakam Elza Nadiah Shaik Sulaiman, piket ini bertujuan membantah tiga isu yang didakwa berlaku:
Pengumuman tiga timbalan setiausaha diberikan kenaikan gaji;
Pengumuman lain bahawa timbalan setiausaha tersebut menggunakan sistem penilaian prestasi yang berbeza daripada pegawai Suhakam lain;
Dakwaan suruhanjaya itu menyekat penyertaan pekerja dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Memang tak ada ketelusan,” kata Elza kepada Malaysiakini sambil menjelaskan bahawa para pekerja telah berulang kali meminta penjelasan.
Dia mendakwa pekerja tidak mengetahui berapa jumlah kenaikan gaji yang diterima oleh timbalan setiausaha tersebut dalam peralihan dari gred 52 ke gred 54.
Pekerja juga, jelas Elza tidak mengetahui butiran tentang sistem baru - yang dikenali sebagai sistem 360 - yang akan digunakan untuk menilai pegawai tersebut.
“Kita tanya, kenapa jawatan tiga orang naik?
"Lepas itu, kenapa dia menggunakan sistem berlainan? Jadi, saya anggap benda ini adalah satu diskriminasi,” katanya lagi.
Dakwaan berkait SSPA
Mengenai isu sistem saraan berlainan, Elza menjelaskan kerajaan telah memberi masa yang terhad kepada jabatan dan agensi untuk pekerja menandatangani dokumen berkaitan SSPA.
Tetapi Elza mendakwa Suhakam menangguhkan proses ini walaupun pekerja telah bertanya mengenainya.
Sehingga ke hari ini Elza berkata para pekerja masih belum menerima jawapan kepada sebarang pertanyaan mereka.
Apabila ditanya mengenai perkara berkenaan, Pesuruhjaya Suhakam Ragunath Kesavan berkata dia tidak tahu-menahu mengenainya.
“Saya langsung tiada idea,” jelasnya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, Elza menjelaskan Suhakam tidak pernah mempunyai kesatuan sepanjang tempoh ia beroperasi.
Dia kini presiden protem kerana pekerja akan menubuhkan kesatuan secara rasmi selepas piket diadakan.