PAS hari ini mempertahankan presidennya yang dikecam oleh DAP.
Menganggap pemimpin DAP terbabit sebagai tidak teliti, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata kerajaan tidak jatuh dengan catatan minda Abdul Hadi.
Sebaliknya, kata Takiyuddin, kerajaan perpaduan boleh jatuh jika pelbagai kelemahan dan keterlanjuran - yang didakwanya berlaku sekarang - tidak dibetulkan.
"Barangkali sebagai anggota penting kerajaan, ada Anthony Loke dan DAP harus memikirkan terlebih dahulu isu ini dan tulisan Presiden PAS semasak-masaknya sebelum membuat dakwaan melulu dan tidak matang itu," katanya.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata demikian dalam kenyataan yang merujuk kepada pandangan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke semalam.
Terdahulu Abdul Hadi mendakwa DAP dan PH sudah mengkhianati konsep raja berpelembagaan ekoran keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas perdana menteri, Najib Razak, terkait isu titah tambahan (adendum) Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
“Hal ini mendedahkan wajah sebenar kerajaan PH yang didominasi oleh DAP yang menegakkan prinsip sekularisme yang dipahat dalam perlembagaan partinya dan kenyataan para pemimpinnya.
“Apa yang berlaku adalah meneruskan pendekatan pada zaman penjajah dahulu,” dakwa Abdul Hadi.
Sebagai reaksi, Loke berkata, DAP tidak terlibat dalam isu adendum berkenaan dan menganggap kenyataan Abdul Hadi sebagai mainan politik PAS yang mahu menyalahkan mereka bagi setiap isu.
"Tindakan keji ini merupakan mainan politik ulangan PAS yang hanya pandai menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu dengan slogan 'semua salah DAP'.
"Saya ingin menegaskan bahawa pemimpin DAP khususnya anggota kabinet langsung tidak terlibat dalam isu adendum tersebut kerana pengampunan adalah urusan lembaga pengampunan yang tidak melibatkan jemaah menteri.
"Dalam lembaga pengampunan pula, tidak ada seorang pun ahlinya terdiri daripada wakil DAP," kata Loke.
Berikut merupakan kenyataan penuh Takiyuddin bagi menjawab Loke:
PAS berasa hairan dengan respons melulu dan rumusan sewenang-wenang Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang cuba mengheret DAP dalam isu titah adendum melibatkan kes semakan kehakiman Najib.
Dalam kenyataan medianya, menteri pengangkutan itu - yang merujuk kepada tulisan terbaru Presiden PAS bertajuk Pakatan Derhaka Mengoyak Topeng Raja Berperlembagaan" berkata, "tindakan keji ini merupakan mainan politik ulangan PAS yang hanya pandai menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu..."
Loke turut membuat tuduhan liar lain terhadap PAS termasuk "cuba menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim", "memecahkan kerajaan perpaduan", dan "amat gila kuasa dan gelojoh untuk merampas kuasa di Putrajaya".
Bacaan teliti tulisan Presiden PAS itu mendapati ia sama sekali tidak menyebut atau mengaitkan DAP - sama ada secara tersurat atau tersirat - dengan titah adendum, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ataupun dengan isu pengampunan Najib yang hangat diperkatakan hampir setahun ini.
Justeru dakwaan dan tuduhan Loke terhadap Abdul Hadi dan PAS adalah tersasar sama sekali, sebaliknya ia mendedahkan sentimen melulu beliau dan partinya terhadap PAS.
Ini tidaklah memeranjatkan kerana sejak sekian lama sentimen yang sama membentuk naratif standard DAP terhadap PAS untuk tujuan-tujuan politiknya.
Bersekali dengan naratif ini, DAP juga sangat terkenal dengan naratif victim mentality sebagai helah menyorok keengganan dan ketidakmampuannya meminta maaf atau mengambil tanggungjawab ke atas tindak-tanduknya sendiri.
Selain itu, minda yang sama juga bertujuan mewajarkan sikap sewenang-wenang, kejam, tidak berhati perut, tidak peduli atau gasar kelakuannya terhadap orang lain, terutama pihak-pihak yang dianggap musuh.
Pembaca yang teliti akan dapat menangkap bahawa tema utama tulisan Presiden PAS itu berkaitan dengan status, keunggulan serta keutamaan institusi raja berperlembagaan, selain keperluan menghormati, mematuhi dan mempertahankannya daripada kecenderungan dan tindak-tanduk yang menyanggahi dan mencabarnya.
Selain peranannya sebagai tunggak penting pemerintahan, ia juga perlu dipertahankan sebagai payung dan pelindung tujuan-tujuan murni Islam, termasuk dalam isu-isu keadilan, kehakiman, ihsan dan maslahat rakyat.
Rujukan kepada DAP hanya dibuat berkait kedudukan dominannya dalam kerajaan dan bagaimana kedudukan itu dan citra parti tersebut mampu membentuk dan mempengaruhi pertimbangan atau keputusan-keputusan Putrajaya.
Dalam konteks isu-isu berkait kes Najib - dan sekali lagi tanpa merujuk kepada DAP - Presiden PAS mempersalahkan kerajaan atas kecamuk yang berlaku, terutama melibatkan titah adendum dan surat daripada Istana Pahang berkait hal yang sama.
Presiden PAS menyifatkan kegagalan kerajaan menghormati dan mematuhi kedua-duanya sebagai perbuatan derhaka terhadap institusi raja berperlembagaan dan tujuan-tujuan murni agama dan kemanusiaan yang berkait dengannya.
Presiden PAS juga menempelak tindakan kerajaan yang dilihat mencabar dan memanipulasi institusi berkenaan bagi menutup kegagalan dan kelemahan Putrajaya.
Hakikat bahawa Istana Pahang perlu mengeluarkan surat khas bagi mengesahkan kewujudan dan kesahihan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 ialah tamparan keras terhadap tindak-tanduk kerajaan yang secara sengaja dan berterusan seolah-olah menafikan kewujudannya.
Malah dalam prosiding permohonan kebenaran (leave) semakan kehakiman di Mahkamah Rayuan baru-baru ini, Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Hal Ehwal Undang-undang JPM dan Kerajaan Malaysia membantah dan meminta mahkamah menolak usaha Najib memasukkan keterangan baharu (fresh evidence), termasuk surat kebenaran dan pengesahan Istana Pahang mengenai kewujudan titah adendum.
Selain itu, peguam kerajaan juga dengan penuh ketegasan menggesa mahkamah menolak rayuan bekas perdana menteri itu mendapat kebenaran (leave) bagi menfailkan semakan kehakiman untuk memaksa (compel) responden-responden mengesahkan kewujudan titah adendum berkenaan dan mengambil langkah melaksanakannya.
Tidakkah hujahan peguam kerajaan ini mewakili sikap dan pendirian Putrajaya berhubung titah adendum dan surat pengesahannya daripada Istana Pahang?
Tidakkah tindakan menolak dan bantahan terhadap kedua-dua dokumen tersebut merupakan penderhakaan terhadap institusi raja berperlembagaan, diri peribadi Yang di-Pertuan Agong ke-16, iaitu Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri?
Barangkali sebagai anggota penting kerajaan, ada baiknya Loke dan DAP memikirkan terlebih dahulu isu ini dan tulisan Presiden PAS semasak-masaknya sebelum membuat dakwaan melulu dan tidak matang itu.
Berhubung tuduhannya bahawa PAS bertujuan menjatuhkan kerajaan dengan apa jua cara, adalah lebih baik dan berfaedah sekirannya Loke dan DAP bertindak memperbetulkan keterlanjuran, kelemahan dan konflik dalaman kerajaan kerana ia lebih berpotensi menjatuhkan Putrajaya berbanding tulisan Presiden PAS ataupun sebarang usaha untuk mendapatkan pengampunan atau pelegaan hukum bagi Najib yang dibantah keras oleh DAP atas kepentingan dan pertimbangan kuasa semata-mata itu.