Urusan pengambilan pegawai dalam perkhidmatan awam berteraskan prinsip meritokrasi serta kesaksamaan peluang, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau berkata urusan itu dilaksanakan sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Melantik (PBM) yang diberi kuasa perundangan untuk melantik seseorang ke dalam sesuatu perkhidmatan.
"Proses pengambilan ini bertujuan memastikan penyertaan yang adil daripada pelbagai kaum dalam sektor awam, selaras matlamat kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan yang lebih inklusif serta pada masa sama memilih bakat terbaik dalam pelaksanaan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.
Wan Ahmad Dahlan berkata sejumlah 44,559,514 permohonan diterima Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada 2019 hingga 2023.
Daripada jumlah itu, pemohon berbangsa Melayu mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 77 peratus manakala permohonan daripada kaum Cina dan India masing-masing sebanyak dua dan tiga peratus.
Permohonan daripada Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain etnik pula mencatatkan sebanyak 18 peratus.
Beliau berkata meskipun bilangan permohonan kaum Cina adalah rendah dalam tempoh lima tahun itu, kadar peratus lantikan berbanding calon yang hadir temu duga melibatkan kaum ini paling tinggi iaitu pada tahap 85 peratus, disusuli kaum India iaitu 68 peratus, Orang Asli (54 peratus), Bumiputera Sabah dan Sarawak (45 peratus), lain-lain kaum (42 peratus) dan Melayu (41 peratus).
"Perkara ini jelas membuktikan bahawa marginalisasi atau peminggiran mana-mana kaum tidak wujud sama sekali dalam proses pengambilan pegawai untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam," katanya.
Kelayakan, prestasi ujian
Beliau berkata lantikan yang dibuat selaras prinsip kerajaan untuk memilih calon paling sesuai dan berkualiti bagi jawatan tersedia berlandaskan kelayakan serta prestasi mereka dalam ujian dan temu duga.
Wan Ahmad Dahlan berkata secara umumnya, Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) hingga 31 Dis 2024 merekodkan sejumlah 1,302,429 pegawai perkhidmatan awam, tidak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 77.7 peratus ialah Melayu, 5.4 peratus Cina dan 3.7 peratus India. Baki 13.2 peratus terdiri Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli serta lain-lain kaum.
"Dalam hal ini, jurang komposisi kaum yang wujud dalam perkhidmatan awam disebabkan bilangan bukan Melayu yang memohon untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan sangat rendah, meskipun peratusan lantikan adalah paling tinggi setiap tahun berbanding kaum Melayu," katanya.
Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi sistem dan proses pengambilan supaya lebih efisien, telus dan mudah diakses oleh segenap lapisan rakyat.
Beliau berkata kerajaan juga menyeru semua rakyat Malaysia yang berkelayakan untuk memanfaatkan peluang disediakan dengan menyertai perkhidmatan awam demi menyumbang kepada pembangunan negara sekali gus menggalakkan lebih banyak peluang setara serta inklusif kepada semua.
- Bernama