Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masjid ada dalam video promosi terperinci - Tiong kesal kecaman PN
Diterbitkan:  Jan 8, 2025 8:50 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Ketiadaan masjid dalam montaj video pelancaran kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana ia dibuat pendek dan ringkas bagi tujuan majlis pelancaran, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.

Tiong menjelaskan masjid akan disertakan dalam video promosi yang lebih panjang dan terperinci, yang akan dikeluarkan kemudian.

Menurutnya, video promosi terperinci itu juga akan memaparkan elemen budaya seperti silat, tarian Ngajat dan Sumazau.

"Malaysia mempunyai pelbagai keindahan dan keunikan di negara ini, termasuk seni bina masjid yang memukau.

"Untuk itu, elemen-elemen tersebut telah dimasukkan dalam video promosi yang lebih terperinci serta memaparkan setiap elemen dengan lebih khusus.

"Video ini dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya.

Tiong berkata video sebegitu bertujuan mempromosikan nilai negara sebagai destinasi pelancongan secara keseluruhan dan bukan berdasarkan kaum atau agama.

Terdahulu hari ini, pemimpin PN mempertikaikan ketiadaan masjid dalam video berdurasi 41 saat yang dimuat naik di laman Facebook Tourism Malaysia.

Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin meminta Tiong memberikan penjelasan manakala sayap pemuda parti itu menuduh video tersebut mengabaikan sensitiviti umat Islam.

Dalam kenyataannya, Tiong menangkis kritikan tersebut dan menyeru semua pihak "agar tidak mempolitikkan isu ini atau menjadikannya sebagai isu agama atau perkauman."

"Saya amat kesal dengan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memanipulasi isu ini sebagai sentimen agama dan perkauman, serta menjadikan isu ini sebagai bahan perpecahan.

"Sikap golongan ekstremis seperti inilah yang sebenarnya mencabar keharmonian sosial kita, bukan usaha promosi yang dilakukan oleh Kementerian.

"Saya juga amat menentang tindakan segelintir pihak yang memutarbelitkan usaha kami sebagai satu agenda yang bercanggah dengan semangat Malaysia Madani.

"Sepatutnya, kami semua mengutamakan perpaduan, saling hormat-menghormati, dan kesejahteraan bersama," katanya.

Montaj video tersebut menampilkan beberapa destinasi pelancongan popular seperti Petaling Street, Pasar Seni, Kuil Batu Caves, Gereja Christ di Melaka (dibina oleh Belanda), Gua Mulu di Sarawak, dan Skywalk Langkawi.

Video itu kini telah dikeluarkan daripada saluran YouTube rasmi Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS