Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemeriksaan ke atas pengunjung konsert mencurigakan saja, kata exco
Diterbitkan:  Jan 8, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Kerajaan Selangor memberi jaminan perjalanan konsert di negeri itu tidak akan terganggu ekoran cadangan mengetatkan langkah keselamatan bagi mengelak pengambilan bahan terlarang.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kampung Baru Selangor, Ng Suee Lim, berkata prosedur operasi standard bagi penganjuran dan pelaksanaan konsert masih berjalan seperti biasa.

Katanya pada masa sama kerajaan negeri mahu memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berulang, juseru pemantauan lebih ketat diperlukan.

"Kerajaan negeri mencadangkan agar ujian saringan air kencing hanya dilaksanakan ke atas individu yang menimbulkan syak saja.

"Contohnya, jika ada individu yang membawa barang terlarang atau dadah.

"Pihak berkuasa dengan kerjasama polis berhak untuk mengambil tindakan sewajarnya," kata Ng.

Sebelum ini beberapa pihak menyatakan bantahan atau sangsi dengan rancangan kerajaan negeri yang dilaporkan boleh memberi kesan kepada penganjuran konsert.

Semalam Wanita MCA menganggap langkah menyaring semua pengunjung konsert adalah tidak praktikal, malah mungkin mencetuskan huru-hara.

Rancangan mengetatkan pemantauan itu diusulkan ekoran kematian empat pengunjung konsert Pinkfish yang berlangsung di Subang Jaya baru-baru ini.

Ng berkata kerajaan Selangor mengamalkan dasar progersif dan inklusif, serta terbuka dengan usaha semua pihak menganjurkan konsert yang sihat sambil mengembangkan sektor pelancongan.

"Kami terbuka kepada sebarang cadangan dan maklum balas bernas daripada pihak berkepentingan terutamanya penggiat industri demi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan secara harmoni dan mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS