Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis menahan dua kakitangan sebuah badan berkanun di negeri itu selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng wang kira-kira RM600,000 untuk kegunaan peribadi.
Menurut sumber SPRM, kedua-dua suspek wanita berusia antara 30 dan 40-an ditahan kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis.
Katanya seorang daripada mereka merupakan pengurus akaun.
Sumber itu menjelaskan, perintah reman selama empat hari - sehingga Sabtu ini - dikeluarkan Mahkamah Majistret Kangar pagi tadi. Permohonan dibuat di hadapan majistret Nurshahida Abdul Rahim.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara 2020 hingga tahun lalu.
“SPRM Perlis juga menyita dan merampas barangan mewah termasuk barang kemas berjumlah kira-kira RM100,000 yang dipercayai diperolehi hasil daripada perlakuan jenayah tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan menjelaskan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
“Kami juga akan melihat aspek tatakelola jika wujud kelemahan dalam sistem dan prosedur berkaitan pengurusan terimaan dan perbelanjaan di badan berkanun tersebut bagi menutup ruang dan peluang berlakunya salah guna kuasa,” katanya.
- Bernama