Gara-gara mencuri setandang pisang, seorang bapa tunggal dihukum penjara selama tiga bulan selepas tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini.
Muhammad Fadil Ismail, 35, berdepan pertuduhan mencuri setandan pisang di sebuah kebun di Rengit, Sabtu lalu.
Dia membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman yang kemudian menjatuhkan hukuman terhadapnya, lapor BH Online.
Fadil didakwa mencuri setandan pisang milik lelaki berusia 56 tahun di Parit Jaya, Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit, 9.45 pagi, 4 Januari lalu sekali gus berdepan dakwaan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Menurut laporan itu, pengadu mendapati pisang jenis rastali yang ditanam di kebunnya kerap hilang akibat dicuri.
Justeru itu, pengadu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kebunnya untuk mengetahui siapa dalang di sebalik kehilangan hasil tanamannya itu.
Mangsa berjaya merakam perbuatan tertuduh yang ketika itu sedang menebang pokok pisang sebelum melarikan buahnya.
Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Rengit pada 4 Januari sekali gus membolehkan tertuduh ditahan pada hari sama.
Siasatan polis mendapati bapa kepada tiga cahaya mata yang bekerja sebagai kelindan lori itu adalah individu bertanggungjawab di sebalik kehilangan pisang di kebun mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip dan Pegawai Pendakwa Inspektor Ling Shao Shen manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Kamarularifin Nordin.
Kejadian ini mengingatkan satu lagi kejadian curi pisang pada Mei tahun lalu, membabitkan seorang penganggur berusia 44 tahun di Terengganu dihukum penjara 30 hari kerana mencuri setandan pisang di rumah warga emas.