Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tidak sembunyikan adendum, kata Fahmi

Kerajaan hari ini menafikan dakwaan pihak pembangkang yang menuduh Putrajaya menyembunyikan titah tambahan (adendum) diraja berkaitan tahanan rumah untuk Najib Razak.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata dia sendiri tidak menerima sebarang maklumat mengenai dokumen yang dibangkitkan itu.

"Sejujurnya tidak disorok... saya sendiri sebagai menteri komunikasi tidak ada menerima, melihat, ataupun dimaklumkan tentang dokumen tersebut dan saya percaya perkara ini (berlaku begitu) sebab ia melibatkan lembaga pengampunan.

"Kerajaan juga mengambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini dikembalikan semula ke mahkamah tinggi.

"Maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut," katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, seorang peguam kanan persekutuan memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa adendum - yang dikeluarkan Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong - tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 29 Jan 2024.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pula menjelaskan titah yang dikeluarkan Agong ke-16 itu tidak dihantar kepada kementeriannya atau Jabatan Penjara Malaysia untuk dikuatkuasakan.

Tuduhan bahawa kerajaan sengaja menyembunyikan adendum tersebut semakin meningkat ekoran keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib menyemak semula penghakiman mahkamah tinggi kelmarin.

Ia melibatkan dakwaan Al-Sultan Abdullah menitahkan agar bekas menteri besar Pahang dan bekas perdana menteri terbabit menghabiskan tempoh hukuman penjara di rumahnya.

Bagaimanapun keputusan oleh panel hakim kelmarin belum bermakna Najib boleh meninggalkan Penjara Kajang seperti yang dipohonnya. Sebaliknya kes itu akan didengar semula di Mahkamah Tinggi untuk menentukan keabsahan adendum berkenaan.

Mengulas lanjut Fahmi berkata kedudukan adendum tersebut juga sudah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Anwa Ibrahim, semasa sidang Dewan Rakyat pada bulan lalu.

"Ia seperti yang perdana menteri jawab di parlimen sewaktu sesi soalan untuk perdana menteri bahawa kerajaan tertakluk kepada prinsip subjudis.

"Maka kita (kerajaan) bersetuju dan mematuhi prinsip itu,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS