Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) mendakwa Industri Padi dan Beras (IPB) mengarahkan pengilang membeli padi pada harga lantai belian padi iaitu RM1,300 satu tan metrik, berbanding harga semasa iaitu RM1,500 hingga RM1,800.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob mendakwa arahan yang dikeluarkan IPB kepada pengilang-pengilang itu menyusahkan pesawah kerana harga RM1,300 yang ditetapkan dua tahun lalu tidak lagi mampu mengimbangi kenaikan kos pesawah.
“Harga lantai itu (RM1,300) telah diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam belanjawan yang lalu bahawa harga lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,300 dan jika ada pengilang yang beli di bawah harga RM1,300 maka petani boleh buat aduan dan tindakan dikenakan oleh kerajaan.
“Cuma baru-baru ini pengilang-pengilang beli dengan harga inisiatif sendiri, iaitu mereka beli lebih tinggi daripada harga belian padi RM1,300.
“Di mana ada yang beli pada harga RM1,500 hingga RM1,700. Jadi, dapatlah kami imbangkan dengan harga kos kami sekarang ini.
“Tapi, dua hari lepas saya difahamkan ada pertemuan antara IPB dengan pengilang bahawa ketua pengarah buat satu arahan bagi mengembalikan beras tempatan pada harga sedia ada, jadi disarankan kepada pengilang-pengilang untuk membeli pada harga belian yang ditetapkan sebelum ini, iaitu RM1,300 satu tan metrik,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata arahan IPB itu dibuat bagi mengembalikan beras tempatan ke dalam pasaran sekali gus mengekalkan harga beras tempatan pada RM2.60 sekilogram.
“Masalah sekarang, kalau nak harga lantai padi pada harga tersebut bagaimana dengan kos kami pesawah? Dengan RM1,300 pertan tidak relevan untuk kami sebab yang pertama kos yang naik ini daripada penyelarasan subsidi diesel, termasuklah kos perkhidmatan dah tinggi, naik.
“Yang jadi masalah sekarang ini kepada pesawah, sebab sekarang ini kos mengusahakan sawah padi ini mencecah RM5,000 ke RM5,500 per hektar,” katanya.
Abdul Rashid juga turut menyatakan kekesalan pihaknya apabila perbincangan penetapan harga padi yang dijalankan oleh pihak kementerian bersama para pengilang tanpa melibatkan wakil pesawah.
Menurut Abdul Rashid, tindakan ini jelas menafikan suara dan hak pesawah dalam menentukan nasib mereka sendiri.
Sehubungan itu, katanya, PeSawah menuntut agar kerajaan mengkaji semula penetapan harga minimum padi dan mengambil kira beberapa faktor-faktor.
"Antara faktor itu, kenaikan kos pengeluaran padi yang mendadak, pendapatan dan kebajikan pesawah serta harga beras tempatan yang realistik," katanya.
Menurutnya, pihak kementerian mesti menurunkan kos benih padi sah kepada RM45 per beg dan kos-kos lain, sekiranya masih mahu mengekalkan harga beras kepada RM2.60 sekilogram dan menurunkan harga padi kepada RM1,300 per tan.
"PeSawah juga menggesa agar kerajaan melibatkan wakil pesawah dalam sebarang perbincangan berkaitan dasar dan harga padi pada masa hadapan.
"Kegagalan berbuat demikian hanya akan memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan industri padi negara," katanya.
Selain itu, Abdul Rashid berkata kos benih padi naik dua kali sejak 2023 dan kini mendadak kepada RM58 bagi setiap 20 kilogram (kg) daripada RM45 pada 2023.
"Kos membajak dan menuai pula meningkat ekoran penghapusan subsidi diesel hingga memaksa pesawah menanggung kos mesin jentuai yang lebih tinggi," katanya.
Tambahnya, kos sewa tanah turut meningkat sejak beberapa musim kebelakangan ini,kos racun pula melambung tinggi hingga hampir empat kali ganda berbanding dua tahun lalu.
Abdul Rashid berkata, kos upah penyelenggaraan sawah seperti meracun, menabur, dan membaja juga turut meningkat.
Abdul Rashid berkata, lebih mengecewakan permasalahan utama dihadapi pesawah iaitu harga kawalan beras tempatan pada RM2.60 sekilogram sejak tahun 2014 tidak pernah diambil perhatian serius.
"Jadi, sudah tibanya rakyat Malaysia menerima harga beras baru yang lebih relevan iaitu RM3.60 sekilogram bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi dan mengangkat taraf hidup pesawah yang kebanyakannya masih di bawah garis kemiskinan," katanya.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi IPB untuk mendapatkan respons.