Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sentiasa adil walau berdepan dengan kehendak eksekutif'

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat hari ini menasihatkan agar para hakim sentiasa membuat keputusan perbicaraan secara adil dan objektif.

Katanya, mereka mesti berbuat demikian walaupun berhadapan mana-mana pihak termasuk dengan cabang eksekutif kerajaan atau sesiapa saja yang cuba mempengaruhi sesuatu keputusan.

“Apabila saya dilantik sebagai ketua hakim wanita pertama Malaysia, seseorang bertanya kepada saya: apakah yang akan anda lakukan, jika badan eksekutif atau mana-mana pihak berpengaruh menuntut anda memutuskan sesuatu kes dengan cara tertentu?

“Apa yang akan anda lakukan jika berhadapan dengan permintaan untuk melantik orang tertentu sebagai hakim atau membuat keputusan yang anda tahu salah di sisi undang-undang tetapi tepat untuk parti yang mempunyai kepentingan peribadi?

“Sebelum saya menjawab soalan itu, izinkan saya menekankan perkara ini: seorang hakim mesti sentiasa membuat keputusan dengan adil, saksama dan objektif,” katanya.

Tengku Maimun berkata demikian semasa berucap pada acara pembukaan Tahun Undang-undang 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Menurut Tengku Maimun, tanggungjawab untuk melaksanakan keadilan secara saksama sebagai Ketua Hakim Negara memang begitu, justeru dia berkongsi nasihat tersebut kepada penggantinya yang diyakini mampu menjalankan tugas berkenaan.

Tambahnya, selama ini dia tidak pernah mengimpikan menjawat tugas sebagai ketua hakim namun ditakdirkan mengetuai badan kehakiman negara - sejak Mei 2019.

Tengku Maimun - yang bakal bersara tidak lama lagi - menegaskan tanggungjawab yang diamanahkan itu memang menakutkan, namun berazam untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin apabila bersetuju menerima pelantikan berkenaan.

"Saya tidak akan tunduk kepada mana-mana orang tidak kira betapa tinggi dan berkuasanya (orang tersebut) untuk melakukan apa yang dia minta daripada saya.

"Satu-satunya tuan saya ialah Allah. Saya sangat yakin pada agama saya yang akan mempertanggungjawabkan saya hanya kepada Allah pada hari kiamat.

"Saya sentiasa berusaha menunaikan sumpah jawatan saya terutamanya dalam memastikan perlembagaan dijunjung dan saya tidak berpandukan pertimbangan lain selain daripada undang-undang dan fakta mana-mana kes dalam batasan prinsip yang ditetapkan oleh kehakiman," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS