Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suri rumah rugi RM160,000 diperdaya pelaburan tak wujud
Diterbitkan:  Jan 8, 2025 2:44 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Seorang suri rumah mengalami kerugian RM160,000 setelah terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata mangsa pada mulanya tertarik dengan pelaburan berkenaan yang dilihatnya menerusi aplikasi YouTube pada 8 Dis 2024.

Katanya wanita berusia 67 tahun itu kemudian dijanjikan pulangan lumayan selain menerima keuntungan setiap hari bagi pelaburan yang dilakukan.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran itu memasukkan wang simpanannya berjumlah RM160,000 dengan tiga kali transaksi ke dua akaun bank yang diberikan oleh suspek.

“Bagaimanapun, dia mula menyedari ditipu setelah suspek memintanya membuat pembayaran lagi bagi menebus keuntungan yang diterima sebanyak RM500,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes berasingan, Yahaya memaklumkan, seorang suri rumah mendakwa mengalami kerugian RM137,500 akibat dipukau selepas didatangi tiga wanita tidak dikenali di Kuantan, semalam.

Katanya suspek berpura-pura bertanyakan alamat rumah seseorang kepada wanita berusia 57 tahun terbabit.

Dia berkata mangsa kemudian diminta menyerahkan barang kemas selain mengambil wang simpanan di rumah dan bank.

“Wanita itu hanya mengesyaki dirinya dipukau setelah berada di rumah,” katanya.

Yahaya berkata kedua-dua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS