Bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh enggan mengulas sama ada wujud titah tambahan diraja berkaitan tahanan rumah untuk bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.
Hakim Mahkamah Persekutuan itu mengelak soalan dari pelbagai media, termasuk Malaysiakini, yang cuba mendapatkan pengesahan sama ada Pejabat Peguam Negara tahun lalu menerima dokumen tersebut.
"No, no, no,” kata Terrirudin sebelum berlalu.
Usaha wartawan untuk mendapatkan komen lanjut daripadanya tidak berjaya.
Peguam negara adalah salah seorang anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Turut menganggotai ialah menteri Wilayah Persekutuan dan tiga anggota lain lantikan.
Mahkamah Rayuan semalam membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman bagi memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah tambahan itu.
Najib bergantung kepada afidavit anaknya, Nizar serta surat dari istana Pahang yang mengesahkan kewujudan titah itu.
Titah tambahan itu adalah tambahan kepada titah utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun berkata Jabatan Penjara hanya menerima perintah pengurangan hukuman dan denda terhadap Najib dan tiada sebarang titah tambahan diberikan.
Najib disabitkan bersalah dalam pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah (CBT), dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.