Dikemas kini dengan berita penuh.
Ketua Bersatu bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard membatalkan hasrat untuk membuat laporan polis yang dikatakan berkait kes rogol membabitkan anak seorang menteri.
Menurutnya, pembatalan itu susulan mangsa dalam kes tersebut difahamkan telah menarik laporan polisnya.
“Saya diberi beberapa bahan bukti dan salinan laporan polis tetapi mengikut maklumat yang kita dapat semalam, pengadu telah menarik laporan polis tersebut.
“Saya sedang meneliti dan cuba jumpa pegawai penyiasat untuk meneliti kedudukan sebenar, sebab walaupun kita berdepan musuh politik, kita perlu adil kepada semua.
“Hari ini perkara sama (salinan laporan polis) telah tersebar di (channel Telegram) Edisi Siasat dan beberapa media sosial.
“Saya hormati orang lain nak menyebarkan, tetapi bagi saya kita tengah kenal pasti sebelum buat laporan polis,” katanya kepada media selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di Kuala Lumpur, hari ini.
Dia semalam berkata akan membuat laporan polis berkaitan dakwaan kes rogol itu dan mengundang media membuat liputan.
Terdahulu satu teks didakwa daripada laporan polis disebarkan di satu saluran Telegram pembocor maklumat kontroversi Edisi Siasat.
Laporan itu antara lain menyebut kes ugutan yang didakwa dilakukan seorang lelaki terhadap teman wanitanya yang hamil. Tiada dakwaan rogol dinyatakan.
Sementara itu Chegubard berkata dia antara orang terawal yang mengetahui mengenai kes tersebut.
“Saya antara yang awal dapat (tahu) perkara tersebut, laporan polis (mangsa) dibuat di Pulau Pinang, tetapi ditarik oleh mangsa.
“Untuk berlaku adil kita kena siasat betul-betul kita tak nak aniaya orang, ini kes yang sangat serius. Walaupun dengan menteri ini kita geram sangat.
“Saya difahamkan laporan polis ditarik balik selepas 24 jam laporan itu dibuat pada awal Januari ini,” katanya lagi.
Malaysiakini telah menghubungi pihak yang dinamakan dalam dakwaan di Edisi Siasat itu dan masih menunggu maklum balasnya.
Laporan polis dakwa derhaka pada Agong
Dalam perkembangan berasingan, dia membuat laporan polis terhadap menteri kabinet yang didakwa melakukan penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung isu adendum bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
“Jadi kita desak tangkap, dakwa dan hukum gantung sampai mati penderhaka-penderhaka tersebut,” katanya.
Terdahulu, Chegubard bersama 13 individu lain dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan berhubung kes penyerahan memorandum di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tambun di Ipoh pada Julai tahun lepas.
Hadir sama Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz.