Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, membidas kenyataan kononnya Muhyiddin Yassin seorang yang berprinsip menentang rasuah menyebabkan dia tidak menyertai himpunan solidariti untuk Najib Razak di Istana Kehakiman, Isnin lalu.
Sebaliknya, kata Mohd Puad, Muhyiddin kini berdepan tuduhan di mahkamah kerana kes rasuah.
"Memang memualkan bila Mahathir Rais berhujah ketiadaan Muhyiddin dan (Abdul) Hadi (Awang) di perhimpunan solidariti Najib sebagai mengekalkan prinsip antirasuah.
"Tidakkah Muhyiddin sedang didakwa kerana rasuah dana wibawa? Mana ada prinsip kalau Muhyiddin biarkan menantu lari ke luar negara. Anak Najib tidak seorang pun yang lari.
"Mengarut. Kalau berprinsip Muhyidin patut bantah PAS buat perhimpunan. Selain tidak boleh kawal PAS dia rasa malu untuk hadir. Sebab itu PAS dan Bersatu bercelaru untuk manipulasi isu titah adendum. Tidak ada keikhlasan," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Isnin lalu, PAS mengerakkan ahlinya untuk hadir bersolidariti untuk Najib berhubung titah adendum yang didakwa dinafikan oleh kerajaan.
Ratusan orang termasuk ahli Umno dilaporkan berhimpun di Istana Kehakiman Putrajaya yang menyaksikan Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman terhadap titah adendum bagi menjalani tahanan rumah.
Titah adendum menjadi polemik apabila kerajaan dikatakan cuba menyorok titah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu.
Mengulas lanjut, Mohd Puad turut mempersoalkan kehadiran penyokong PAS dan Bersatu yang tidak begitu ramai pada himpunan berkenaan.
Katanya, jika mengikut laporan media sekitar 900 orang sahaja yang hadir pada himpunan berkenaan.
Jelas Mohd Puad, penyokong PAS tidak ramai yang hadir kerana sedar dalam parti itu tiada agenda memperjuangkan Najib.
"Sebabnya ahli PAS tahu pemimpin mereka main wayang. Dalam PAS tidak ada agenda membela Najib. Bahkan PAS sering guna isu Najib untuk memburukkan Umno.
"Justeru mereka tidak datang bukan kerana menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong. Kali ini mereka tidak solid ikut arahan pemimpin PAS kerana berpura-pura sokong Najib," kata Mohd Puad lagi.