Seorang bekas pemimpin Bersatu memberi amaran bahawa penguatkuasaan titah adendum bagi memberi Najib Razak tahanan rumah boleh membawa kepada krisis perlembagaan.
Dr Muhammad Faiz Na'aman - yang menyertai PKR tahun lepas - berkata ini kerana titah adendum yang dikeluarkan di luar Lembaga Pengampunan membangkitkan beberapa isu.
Faiz berkata sekiranya dikuatkuasakan, titah adendum itu akan menjadi duluan bahawa "banduan elitis" diberi layanan istimewa dalam mengurangkan hukuman melalui titah istana tanpa melibatkan Lembaga Pengampunan dan peruntukan perlembagaan.
Sebelum ini, peguam kanan persekutuan memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa titah adendum itu - yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah - tidak dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Jan 2024.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kemudian berkata titah adendum itu juga tidak dihantar kepada kementeriannya atau Jabatan Penjara untuk dikuatkuasakan.
Kedua, Faiz berkata memandangkan ia boleh menjadikan tahanan rumah sebagai pilihan utama bagi banduan elit walaupun jenayah mereka berat, ia membawa kepada persepsi bahawa undang-undang Malaysia adalah berat sebelah.
“Kesimpulannya, pelaksanaan titah adendum itu mampu menimbulkan krisis perlembagaan baru di negara kita terutama jika pelaksanaannya melibatkan banduan elitis yang mempunyai kepentingan politik tertentu di samping kepentingan peribadi para pemegang taruhnya," kata bekas ahli majlis tertinggi Bersatu itu dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Isnin, Mahkamah Rayuan memutuskan melalui keputusan 2-1 untuk membenarkan rayuan Najib untuk kebenaran memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Semakan kehakiman itu adalah untuk memaksa menteri dalam negeri dan kerajaan menguatkuasakan titah Agong untuk membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Sepucuk surat daripada istana Pahang telah dikemukakan kepada mahkamah yang mengesahkan bahawa titah adendum itu wujud.
Mengenai soal tahanan rumah, Faiz berkata garis panduan mesti disediakan, seperti sama ada polis perlu mengawal rumah banduan sepanjang masa atau tidak.
Dia juga bertanya sama ada mereka yang berada dalam tahanan rumah perlu memakai gelang pengesan.
"Dan rumah mana pula yang patut didiami banduan tersebut? Kerana banduan elitis biasanya mempunyai banyak rumah," katanya.