KATA MP | Saya bersama Parti Islam SeMalaysia (PAS) lebih 37 tahun, iaitu dari tahun 1978 hinggalah tahun 2015.
Kemudian saya memilih untuk bersama Parti Amanah Negara (Amanah) yang kita semua tahu lahir dari pergolakan yang berlaku dalam PAS.
Selama berada dalam PAS, saya diajar oleh ulama PAS bahawa perbezaan antara PAS dan Umno bukan setakat perbezaan politik tetapi ia telah sampai ke peringkat perbezaan akidah.
Saya yang begitu cetek dalam pengajian agama telah mempercayai bulat-bulat hujah yang digunakan oleh ulama PAS ketika mengkafirkan Umno.
Pada waktu itu saya merasakan tiada hujah lain yang boleh mengatasi hujah ulama PAS sehingga hubungan saya dengan ahli keluarga saya yang pro-Umno menjadi renggang.
Saya masih ingat, ketika ke Terengganu untuk berceramah atau menghadiri program PAS, saya hanya bersembahyang di Masjid Rusila atau Masjid Batu Enam sahaja kerana bersembahyang di belakang imam yang pro-Umno adalah tidak sah dan haram hukumnya.
Penglibatan saya dalam politik bermula dari era Pemuda, kemudian ke Jawatankuasa PAS Pusat sebagai Naib Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Dahulu, dalam pemilihan PAS, selalunya yang akan mendapatkan 10 undi tertinggi adalah dari kalangan aktivis PAS yang paling kuat menentang Umno, sama ada yang berlatar belakang profesional ataupun golongan ustaz-ustaz.
Yang selalu dapat undian tertinggi adalah seperti Dr Hatta Ramli, arwah Salahudin Ayob, ustaz Idris Ahmad, Mazlan Aliman, Khalid Samad, Dzulkefly Ahmad dan lain-lain lagi.
Tetapi pada tahun 2013 – 2014, kita sudah dapat mengesan pertemuan sulit beberapa ustaz PAS dengan pihak Umno sehinggalah ada yang mengaku telah menerima wang daripada Umno.
Gelaran oleh PAS sementara
Maka selepas itu berlakulah pertembungan fikrah dalam PAS, yang dipanggil kumpulan ustaz dengan kumpulan aktivis/profesional PAS. Dalam Muktamar ke-15 PAS, berlaku ‘swing vote’ di mana sekumpulan aktivis dan profesional dikalahkan ‘setandan’ oleh ustaz-ustaz PAS yang pro-UMNO.
Kalah menang dalam pemilihan adalah perkara biasa tetapi belum pernah berlaku penolakan secara berkumpulan seperti muktamar di Kuala Selangor itu. Pada hari yang sama juga PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP.
Saya nak sebut di sini, ahli-ahli Amanah atau umat Islam jangan gusar dan jangan rasa gelisah di atas tuduhan PAS sebab tuduhan atau gelaran yang dikeluarkan oleh PAS hanyalah bersifat semasa dan untuk kepentingan politiknya saja.
Kami yang telah tertipu, kononnya perbezaan dengan Umno itu adalah perbezaan akidah tetapi ternyata ia adalah permainan untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada PAS.
Kita dapat lihat selepas DAP diceraikan dan PAS keluar dari Pakatan Rakyat, pada waktu itu, PAS terus kekal dengan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor walaupun DAP berada di dalamnya. Ada pula hujah lain digunakan untuk menghalalkan tindakan mereka supaya terus berada dalam pemerintahan di Negeri Selangor.
Tak lama kemudian, PAS berpisah pula dengan PKR, dengan alasan yang begitu rapuh dan tidak langsung memberi hujah, kenapa perlu berpisah dengan Keadilan.
Paling mengejutkan, selepas PAS berpisah dengan DAP dan PKR, PAS bersama pula dengan UMNO di dalam Muafakat Nasional. Pemimpin PAS mengatakan hubungan baru PAS-Umno ini adalah anugerah Allah.
Ertinya selama ini, istilah Umno itu kafir, sembahyang dua imam dan sebagainya sehingga ada kes dibawa ke mahkamah hanyalah istilah semasa untuk mengaut sokongan politik, bukannya pegangan akidah.
Justeru ahli Amanah dan umat Islam di negara ini, janganlah terpedaya lagi dengan permainan PAS – kerana semua hujah mereka hanya sandiwara dan boleh berubah pada bila-bila masa.
Misalnya, apabila nak bekerjasama dengan DAP, PAS gunakan formula ‘agree to disagree’ (setuju untuk tidak bersetuju). Tetapi apabila dah berpisah dengan DAP, timbullah semula dakwaan bahawa DAP itu komunis, DAP nak tubuh negara Kristian dan sebagainya. Inilah propaganda yang dimainkan PAS, terutamanya pada waktu ini.
Sedangkan dahulu waktu bersama DAP, presiden PAS sanggup turun berkempen di Teluk Intan untuk memenangkan wakil DAP. Tetapi apabila Presiden PAS bersama MCA, beliau turun pula berkempen untuk calon bukan Islam di Tanjung Piai, Johor dengan pantunnya yang agak terkenal, yang berbunyi,
“Mari kita pergi ke Dumai,
pergi ke Dumai dengan kereta,
Keluarlah mengundi beramai ramai,
Undi MCA, kawan kita.”
Banyak sudah bukti bahawa fatwa PAS boleh diubah sesuka hati demi untuk menghalalkan sesuatu tindakannya. Misalnya bila nak larang ahli PAS turun berdemontrasi, mereka guna dalil - jangan campakkan dirimu ke dalam kebinasaan.
Buang Najib
Tetapi apabila nak kerah ahli PAS untuk turun berdemontrasi, mereka guna pula dalil - berjuanglah ke jalan Allah dengan harta dan nyawamu. Amalan mengeluarkan fatwa sesuka hati inilah yang akan merosakkan negara sepertimana yang Tan Sri P Ramlee pertontonkan dalam filem Musang Berjanggut dulu.
Berdasarkan semua insiden ini, maka bolehlah kita simpulkan bahawa; segala tuduhan dan persepsi yang cuba dimainkan oleh PAS hanyalah suatu sandiwara politik. Fatwa politik mereka boleh berubah bila-bila masa yang mereka suka.
Begitulah juga apabila hari ini PAS menyatakan sokongan kepada Najib Razak, ini hanyalah sandiwara untuk menarik sokongan Melayu. Tidak mustahil suatu hari nanti, PAS akan membuang Najib jika beliau tidak lagi menguntungkan politik PAS.
Akhir kata saya ingin menyeru kepada ahli Amanah dan seluruh umat Islam di negara ini untuk terus berpadu tenaga memperjuangkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua, bersatu hati membela golongan yang tertindas serta bersama menolak politik kebencian.
Usahlah terpedaya dan termakan dengan sandiwara semasa PAS.
MOHAMAD SABU merupakan presiden Parti Amanah Negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.