Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas dua treler, lebih 35 metrik tan beras serta 14 ekor lembu dengan keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM800,000 dalam dua rampasan berasingan di Pasir Mas dan Tanah Merah.
Komander Briged Tenggara PGA Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata pasukannya bersama Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas menahan sebuah treler dalam keadaan mencurigakan di pangkalan haram Yasin di Lubok Gong, Pasir Mas, kira-kira jam 9.30 pagi tadi.
“Hasil pemeriksaan di bahagian belakang treler polis menemukan 35,290kg beras Siam bernilai RM141,160 yang disyaki diseludup masuk dari Thailand.
“Seorang pemandu lelaki berusia 32 tahun pula gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan beras yang dibawa dan dia ditahan.
"Siasatan lanjut mendapati kesemua beras tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran melalui laluan tidak sah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Nik Ros Azhan semua barang rampasan termasuk beras dan treler jenis Volvo dianggarkan bernilai RM561,160 manakala suspek diserahkan kepada pihak Kawalselia Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, anggota Batalion 9 PGA menahan sebuah treler jenis Hino yang membawa 14 ekor lembu bernilai RM136,500 di Sekatan Jalan Raya Lalang Pepuyu, 3.30 petang semalam.
Kata Nik Ros Azhan, pemandu treler terbabit iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun mengemukakan dokumen berkaitan lembu yang dibawa namun kesemua tag telinga haiwan itu tidak sama seperti dalam permit pindah binatang yang diberikan serta meragukan.
“Semua lembu dan treler yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM321,500 dan ia dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut oleh jabatan veterinar," katanya.
- Bernama