Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak adil tuduh k'jaan abaikan titah adendum - Fahmi
Diterbitkan:  Jan 7, 2025 9:15 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Tidak adil mendakwa kerajaan mengabaikan titah tambahan berkaitan tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) jelas jurucakap kerajaan itu telah melaksanakan pengampunan yang mengurangkan hukuman Najib dan dendanya dalam kes SRC International mengikut titah Yang di-Pertuan Agong terdahulu.

"Pihak KDN khususnya Jabatan Penjara telah melaksanakan perintah yang telah dilengkapi cop mohor serta tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

"Sebarang perkara berkaitan dengan arahan tersebut terbit daripada prosiding Lembaga Pengampunan berlandaskan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya seperti dipetik laporan Sinar Harian.

Semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah yang didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu untuk membenarkan Najib menjalani tahanan rumah.

Sepucuk surat daripada Istana Pahang telah dikemukakan kepada mahkamah, mengesahkan titah tambahan tersebut memang wujud.

Namun, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan pihaknya tidak dapat melaksanakan titah tambahan itu kerana ia tidak pernah dihantar kepada Jabatan Penjara.

Sebaliknya Saifuddin berkata KDN hanya menerima arahan berkaitan pengurangan hukuman bekas perdana menteri itu yang diterima.

Khabar mengenai titah tambahan itu muncul selepas keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman asal Najib daripada 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada enam tahun dan RM50 juta dalam kes rasuah SRC International.

Sementara itu, Fahmi berkata dia menyerahkan perkara berkenaan kepada proses perundangan.

"Keputusan Mahkamah Rayuan adalah untuk meremitkan dan meminta Mahkamah Tinggi mendengar kes tersebut.

“Saifuddin telah menerangkan proses dan garis masa berkenaan isu ini. Jadi, berkaitan dengan kes, kita serah sahaja kepada pihak mahkamah," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS