Wanita MCA mengecam rancangan kerajaan negeri mahu melakukan ujian saringan dadah untuk pengunjung sesebuah konsert seperti yang dinyatakan baru-baru ini.
Naib ketuanya Tee Hooi Ling menganggap selain merupakan tidak masuk akal, ia juga tidak praktikal.
Katanya sesebuah konsert biasanya melibatkan acara berskala besar dan dihadiri oleh puluhan ribu orang. Justeru tambah Tee, menjalankan saringan air kencing ke atas semua orang akan memberi beban yang tidak wajar kepada penganjur dan penguat kuasa.
“Sekiranya setiap peserta perlu menjalani ujian air kencing, proses kemasukan akan menjadi sangat perlahan dan tidak cekap, mungkin mengambil masa berjam-jam atau sehari penuh untuk diselesaikan.
“Ini akan mengurangkan pengalaman penonton dengan ketara malah boleh menyebabkan huru-hara di tempat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tee yang juga Ketua Wanita MCA Selangor berkata pemeriksaan sebegitu juga tidak sesuai kerana ada kemungkinan pengguna dadah terlepas jika mereka mengambil bahan terlarang tersebut selepas melepasi tempat pemeriksaan.
Oleh kerana itu, kata Tee, Wanita MCA menggesa kerajaan negeri mengkaji semula cadangan itu dan mengambil langkah yang lebih realistrik tanpa menganggap semua pengunjung konsert sebagai pihak yang dicurigai.
Menurutnya, ada langkah pencegahan lain boleh diambil seperti mengetatkan pemeriksaan keselamatan, meningkatkan rondaan, memperkenalkan cara yang lebih baik untuk mengesan dadah, dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk membendung pengedaran dadah melalui risikan yang tepat.
Semalam kerajaan Selangor berkata ujian air kencing mungkin akan dilaksanakan sebagai salah satu prosedur operasi standard (SOP) kepada pengunjung konsert bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berulang.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim, berkata syor tersebut adalah satu daripada beberapa perkara yang bakal dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri esok.
Menjelang tahun baru lalu empat pengunjung sebuah konsert mati di Bandar Sunway, Subang Jaya, dan mereka dipercayai mengambil ekstasi.
Polis juga membuka empat kertas siasatan membabitkan kes kematian mengejut itu bagi mengenal pasti jika wujud sebarang unsur jenayah atau keracunan.