Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS gesa KPM siasat 10,000 pelajar tak hadir kertas BM SPM
Diterbitkan:  Jan 7, 2025 5:50 PM
Dikemaskini: 9:50 AM

Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menyiasat mengapa 10,000 pelajar gagal hadir kertas Bahasa Melayu dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, gesa Timbalan Ketua Pemuda PAS Mohd Hafez Sabri.

KPM perlu melaksanakan langkah agresif bagi memastikan pelajar-pelajar ini tidak ketinggalan, memandangkan kegagalan kertas Bahasa Melayu akan membawa kepada kegagalan keseluruhan peperiksaan SPM.

“Angka ini (10,000) bukan sahaja mengejutkan, tetapi juga memberikan gambaran bahawa terdapat masalah besar yang sedang melanda sistem pendidikan negara," katanya pada kenyataan di Facebook.

Mohd Hafez turut menegaskan SPM peperiksaan awam paling penting dan sering dijadikan penanda aras bagi sistem pendidikan negara.

Pada 2 Januari lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (gambar atas) berkata sekitar 10,000 pelajar masih belum mengesahkan kehadiran mereka untuk peperiksaan SPM.

Pada 19 Disember, Fadhlina memuji keputusan untuk tidak menangguhkan ujian lisan SPM meskipun terdapat isu banjir, yang menurutnya telah menghasilkan kadar kehadiran tinggi iaitu 97.49 peratus.

Sebelum SPM bermula, Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin menyokong cadangan Ahli Parlimen Tumpat Mumtaz Md Nawi untuk menangguhkan SPM bagi calon yang terkesan akibat banjir.

Pada 4 Januari, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Danial Al-Rashid Haron turut menyuarakan kebimbangan terhadap 10,000 pelajar yang terlepas kertas Bahasa Melayu.

Kata Danial kerajaan tidak boleh membiarkan ribuan pelajar tercicir kerana ketidakhadiran mereka mungkin berpunca daripada faktor di luar kawalan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS