Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke jawab Hadi: PAS amal politik keji kaitkan adendum dengan DAP
Diterbitkan:  Jan 7, 2025 5:20 PM
Dikemaskini: Jan 8, 2025 1:57 PM
5

DAP menegaskan pemimpinnya sama sekali tidak terlibat dalam isu adendum dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan PAS yang cuba mengherat mereka terlibat dalam kes Najib Razak.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata dia mengecam sekeras-kerasnya tindakan parti itu yang dilakukan termasuk melalui presidennya, Abdul Hadi Awang.

"Tindakan keji ini merupakan mainan politik ulangan PAS yang hanya pandai menyalahkan DAP dalam apa sahaja isu dengan slogan 'semua salah DAP'.

"Saya ingin menegaskan bahawa pemimpin DAP khususnya anggota kabinet langsung tidak terlibat dalam isu adendum tersebut kerana pengampunan adalah urusan lembaga pengampunan yang tidak melibatkan jemaah menteri.

"Dalam lembaga pengampunan pula, tidak ada seorang pun ahlinya terdiri daripada wakil DAP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Loke yang juga menteri pengangkutan menambah, segala urusan lembaga pengampunan pula - dalam konteks Wilayah Persekutuan - dinasihat oleh Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menyelar kerajaan yang dituduhnya diterajui oleh DAP, selain dakwaan mengkhianati konsep raja berperlembagaan.

Merujuk keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Najib Razak memulakan semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong, Abdul Hadi mendakwa kerajaan menolak titah baginda agar bekas perdana menteri itu menghabiskan hukuman penjaranya di rumah.

Abdul Hadi Awang

“Hal ini telah mendedahkan wajah sebenar kerajaan PH yang didominasi oleh DAP yang menegakkan prinsip sekularisme yang dipahat dalam perlembagaan partinya dan kenyataan para pemimpinnya.

“Apa yang berlaku adalah meneruskan pendekatan pada zaman penjajah dahulu,” dakwanya hari ini.

Loke berkata, pihaknya amat mengenali taktik politik kotor dan keji PAS yang sering menggunakan sesuatu lalu mengaitkan dengan DAP untuk tujuan cuba menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan memecahkan kerajaan perpaduan.

"Pemimpin PAS kini amat gila kuasa dan gelojoh untuk menggunakan segala cara untuk mencapai cita-cita politik mereka merampas kuasa di Putrajaya.

"Saya menyeru rakyat Malaysia yang menghargai kestabilan politik untuk menolak sekeras-kerasnya politik murahan dan keji yang dibawa oleh PAS.

"DAP akan terus mendukung kerajaan perpaduan dan yakin dengan keikhlasan semua gabungan dalam kerajaan untuk menolak cubaan PAS menggangu gugat kestabilan negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
5
ADS