Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hantaran FB Najib hina mahkamah - Hassan Karim
Diterbitkan:  Jan 7, 2025 5:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM
1

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim hari ini menyifatkan hantaran di akaun Facebook bekas Perdana Menteri Najib Razak sebagai "kesalahan jenayah kerana menghina mahkamah".

Wakil rakyat PKR itu yang juga seorang peguam berkata hantaran tersebut bersifat fitnah dan bertujuan untuk mencemarkan nama baik mahkamah dengan mewujudkan skandal yang memberi kesan negatif terhadap sistem kehakiman.

"Dari bacaan saya terhadap tulisan dalam Facebook (Najib) saya menyimpulkan tulisan tersebut adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana memfitnah Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan yang telah membicarakan Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd," katanya kepada Malaysiakini dalam satu kenyataan.

Terdahulu hari ini, hantaran muncul di akaun Facebook Najib yang mengkritik hakim perbicaraan SRC International, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dalam apa yang kelihatan sebagai usaha untuk menafikan sabitan awal kesalahan bekas perdana menteri itu.

Ini ketika Umno memohon Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib atas sabitannya dalam kes rasuah SRC.

Hantaran Facebook itu mengungkit semula isu dakwaan konflik kepentingan Nazlan dalam kes SRC International berikutan peranan hakim tersebut semasa bekerja dengan Maybank, ketika SRC International berurusan dengan bank tersebut, serta siasatan SPRM terhadap perkara itu.

Dalam kenyataannya, Hassan berkata para hakim Mahkamah Rayuan dan kemudian hakim-hakim Mahkamah Persekutuan telah sebulat suara mengekalkan keputusan Nazlan di Mahkamah Tinggi.

"Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan sabitan bersalah Najib Razak dan hukuman yang telah dijatuhkan okeh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur maka Najib telah merayu lagi ke Mahkamah Persekutuan.

"Kali ini lima orang Hakim Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan Najib.

"Lima hakim tersebut telah menutuskan bahawa tiga hakim mahkamah rayuan telah membuat keputusan yang betul falam menolak rayuan Najib.

"Sekali lagi sabitan bersalah dan hukuman ke atas Najib oleh Hakim Nazlan telah disahkan betul dan dikekalkan oleh Mahkamah tertinggi di negara kita iaitu Mahkamah Persekutuan," jelasnya.

Selain itu, Hassan menyatakan isu yang dibangkitkan Najib tidak bermakna dari segi kesahihan undang-undang.

"Najib sepanjang perbicaraan kes SRC International yang memakan masa bertahun-tahun itu dibela oleh pasukan peguam yang kompeten dan berpengalaman.

"Segala fakta pembelaan sepatutnya dibentang dan dihujahkan di dalam mahkamah bukannya melalui tulisan di platform Facebook," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS