Perbicaraan kes seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom atas dua pertuduhan memiliki 200 butir peluru dan memperdagangkan enam senjata api di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini ditangguhkan sekali lagi ke Isnin depan (13 Jan), kerana masih gagal mendapatkan perkhidmatan jurubahasa Ibrani (Hebrew).
Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh baharu itu selepas peguam Datuk Naran Singh, yang mewakili Avitan, memaklumkan bahawa anak guamnya memerlukan jurubahasa Ibrani sepanjang perbicaraan kes tersebut.
“Adalah hak tertuduh untuk diberikan tafsiran dalam bahasa yang difahaminya. Mahkamah akan memberikan satu lagi peluang untuk mencari jurubahasa Ibrani. Oleh itu, kes ini akan ditangguhkan ke Isnin depan (13 Jan),” kata Norina.
Terdahulu, Norina menegur Avitan kerana meminta jurubahasa Ibrani di saat akhir perbicaraan, memandangkan perkara itu tidak pernah dibangkitkan sebelum ini.
“Perbicaraan ini telah berlangsung hampir sembilan bulan dan anda diwakili peguam, namun isu jurubahasa tidak pernah dibawa ke perhatian mahkamah semasa pengurusan kes,” kata beliau.
“Isu permintaan anda untuk jurubahasa baharu hanya dibawa ke perhatian mahkamah pada saat-saat akhir, iaitu pada hari pertama perbicaraan (semalam), yang sepatutnya dimulakan,” kata hakim
Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan kes itu selama 12 hari bermula 6 sehingga 9 Jan, 13 hingga 16 Jan, serta 20 hingga 23 Jan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9x19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di Kuala Lumpur antara 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lepas.
- Bernama