Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saifuddin bohong, kata Wan Fayhsal
Diterbitkan:  Jan 7, 2025 4:27 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Ahli Parlimen Machang menyeret Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas dakwaan berbohong di Dewan Rakyat berhubung isu titah tambahan (adendum) Yang di-Pertuan Agong.

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk semakan kewujudan adendum bagi membolehkannya diberi tahanan rumah.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa pada 7 Nov lalu Saifuddin menegaskan titah 'adendum' tersebut khabar angin (hearsay).

"Perkembangan terkini yang berlaku dalam Mahkamah Rayuan semalam adalah sebaliknya, malah berlawanan dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri. Titah adendum itu benar-benar wujud dan bukan 'hearsay'.

"Jelas lagi terang Menteri Dalam Negeri telah mengelirukan Dewan Rakyat di bawah Peraturan 36 (12) dan dikenal pasti berbohong.

"Maka wajarlah Parlimen mengambil tindakan dengan merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mencemari, dan memfitnah kebenaran yang melibatkan kewibawaan bekas Yang di-Pertuan Agong," katanya pada kenyataan media, hari ini.

Mahkamah Rayuan semalam membenarkan rayuan Najib Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu.

Ia supaya bekas perdana menteri itu dibenarkan menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

Surat dari Istana Pahang diserahkan kepada mahkamah semalam, yang mengesahkan titah tambahan itu benar.

Susulan perkembangan kes itu, Saifuddin kemudiannya tampil menjelaskan Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah tambahan Yang di-Pertuan Agong berkaitan tahanan rumah kepada Najib.

Senator itu berkata surat bertarikh 2 Feb 2024 kepada Jabatan Penjara untuk melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan hanya menyebut berkaitan pengurangan hukuman dan denda.

“Tidak ada yang menyebut tentang tahanan rumah,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal menggesa speaker Dewan Rakyat menyegerakan usulnya dalam sidang Dewan Rakyat yang bakal berlangsung pada bulan Februari nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS