Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Projek HSR boleh dihidupkan dengan penyertaan pihak swasta - PM
Diterbitkan:  Jan 7, 2025 4:17 PM
Dikemaskini: 8:25 AM

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura boleh dihidupkan semula sekiranya terdapat penyertaan sepenuhnya daripada sektor swasta, dengan penglibatan kerajaan yang sangat minimum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan berhasrat mempelawa penyertaan sektor swasta kerana peruntukan perbelanjaan kerajaan mempunyai hadnya dan ketika ini masih menunggu cadangan yang berpotensi.

“Kita (kerajaan) perlu memberikan keutamaan kepada usaha membasmi kemiskinan, tebatan banjir, isu infrastruktur asas, pendidikan dan kesihatan awam sekurang-kurangnya bagi tempoh satu atau dua tahun lagi, jadi projek mega terpaksa ditangguhkan kerana komitmen untuk menyelesaikan isu tertunggak.

"Kami masih menunggu penyertaan yang positif dan berpotensi daripada sektor swasta untuk diteruskan apabila perlu...sudah ada beberapa cadangan dan pasukan petugas sedang menelitinya," kata beliau pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.

Wong berada di Putrajaya sempena lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia yang bermula semalam.

Sementara itu, Wong berkata kerajaan Singapura terbuka menerima sebarang cadangan baharu daripada Malaysia berkaitan pelaksanaan semula projek HSR KL-Singapura.

"Malang sekali kita tidak dapat meneruskan rancangan pada asalnya. Bagi kami, hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara kita sentiasa menjadi kelebihan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS