Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib petik Anwar tentang pendakwaan 'tergesa-gesa, cacat'

Najib Razak hari ini memetik kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pendakwaan "tergesa-gesa" dan "cacat" bagi menguatkan hujahnya melawan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB.

Tertuduh merujuk kepada kenyataan Anwar pada 21 Dis bahawa beberapa kes mahkamah jenayah berprofil tinggi "tergesa-gesa", "cacat" dan "dicemari racun dan permusuhan".

"Saya percaya kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai kecacatan dalam proses pendakwaan sangat mengesahkan kebimbangan saya sekian lama mengenai prosiding undang-undang terhadap saya.

“Selama enam tahun, saya telah menegaskan bahawa prosiding ini adalah contoh pendakwaan yang tergesa-gesa dan cacat.

“Pertuduhan terhadap saya adalah berkaitan tindakan yang saya lakukan semasa menjadi perdana menteri dan menteri kewangan, yang merupakan fungsi rasmi yang dijalankan berdasarkan nasihat profesional dan protokol tadbir urus yang ditetapkan.

"Tindakan rasmi ini telah disalahsifatkan untuk mencadangkan niat jenayah, satu dakwaan yang saya nafikan sepenuhnya," kata Najib di Mahkamah Tinggi yang bersidang di Istana Kehakiman di Putrajaya petang ini.

Bekas perdana menteri itu berkata bahawa persamaan antara kes jenayahnya dan Anwar adalah menarik, kerana pihak pendakwaan dalam kedua-dua kes cuba bergantung kepada dakwaan yang menurutnya mustahil secara fakta.

Pada 21 Dis tahun lepas, Anwar membuat kenyataan itu ketika ditanya media mengenai pembebasan mahkamah jenayah terhadap isteri Najib, Rosmah Mansor.

Rosmah dibebaskan daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan mengelak cukai.

Kenyataan perdana menteri itu juga dipercayai merujuk beberapa kes berprofil tinggi yang dimulakan pada 2018 semasa pentadbiran perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut sama ada dia turut merujuk kepada kes jenayah Najib membabitkan dana 1MDB.

Semasa perbicaraan hari ini di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, Najib berkata pengiktirafan Anwar terhadap kelemahan sistemik ini adalah peluang untuk pembetulan melalui Jabatan Peguam Negara dan bukan melalui mahkamah, yang mesti kekal bebas.

"Saya amat percaya ini menekankan keperluan mendesak untuk semakan menyeluruh terhadap pendakwaan terhadap saya terutamanya memandangkan pertuduhan terhadap saya telah disediakan walaupun sebelum kenyataan saya direkodkan (oleh pihak berkuasa), yang jelas menyokong bahawa pendakwaan terhadap saya adalah dari awal tercemar oleh racun dan permusuhan.

"Pembayar cukai tidak sepatutnya menanggung beban pendakwaan sedemikian yang akhirnya menjatuhkan sistem keadilan kita," keluh Najib.

Pada 30 Okt, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana daripada 1MDB.

Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie (boleh bertanggungjawab) terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Hakim memutuskan Najib perlu menjawab pertuduhan berikutan kekuatan pelbagai 50 keterangan saksi semasa peringkat prosiding pendakwaan yang berlangsung enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.

Sejak keputusan prima facie, Najib telah memberi keterangan dalam pembelaannya terhadap tuduhan jenayah 1MDB.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS