Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi dakwa PH 'koyak' topeng Raja Berperlembagaan
Diterbitkan:  Jan 7, 2025 2:06 PM
Dikemaskini: 8:50 AM
3

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dalam kenyataan terbaru, menyelar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui DAP yang didakwanya mengkhianati konsep Raja Berperlembagaan.

Merujuk keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Najib Razak untuk memulakan semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong, Abdul Hadi mendakwa kerajaan telah menolak titah supaya bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjara dalam bentuk tahanan rumah.

Abdul Hadi Awang

“Hal ini telah mendedahkan wajah sebenar kerajaan PH yang didominasi oleh DAP yang menegakkan prinsip sekularisme yang dipahat dalam perlembagaan partinya dan kenyataan para pemimpinnya.

“Apa yang berlaku adalah meneruskan pendekatan pada zaman penjajah dahulu,” katanya dalam satu kenyataan yang dsiarkan di Facebook.

Dia berkata, PH mula berkuasa dengan slogan Yang di-Pertuan Agong mahukan kerajaan Perpaduan, tetapi kemudian bertopengkan istana sebagai alasan melawan setiap teguran dan kritikan pihak pembangkang.

“Kesalahan yang terbuka kini ialah tindakan membakul sampahkan surat hak pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong, sehingga mendedahkan wajah derhakanya.

“Inilah gambaran wajah yang sebenar kerajaan PH yang berkonsep sekularisme yang berprinsipkan kebendaan semata-mata, selaras dengan keahliannya yang terbuka kepada semua, campuran kalangan yang baik dan buruk, betul dan sesat, beragama dan tidak beragama.

“Ini, termasuk yang tidak berakhlak yang boleh dikhadamkan semuanya demi kepentingan kebendaan yang menjadi kiblatnya.,” katanya.

Abdul Hadi berkata, Islam meletakkan Raja Berperlembagaan yang sebenar dengan memberi kuasa kepada mereka.

Sebaliknya, kerajaan PH, dakwa Abdul Hadi hanya memperalatkan Raja-Raja Melayu sebagai perisai politik, apabila ia menguntungkan pihak mereka.

Presiden PAS itu juga mendakwa kerajaan PH bersikap selektif dalam mengendalikan kes-kes berkaitan kepimpinan politik.

Kesalahan-kesalahan besar pihak tertentu, menurut beliau, dilindungi atau hanya diambil tindakan separuh jalan.

“Kesalahan besar melebihi skandal 1MDB disembunyikan di bawah karpet,” katanya sambil merujuk kepada pihak tertentu dalam pentadbiran kerajaan.

Abdul Hadi turut menekankan keperluan mempertahankan institusi Raja dan sistem kehakiman berasaskan Islam. Menurutnya, Islam menggalakkan pengampunan dan hukuman yang mendidik, dan bukan bertujuan menindas.

“Konsep kehakiman Islam mencari hukuman yang lebih ringan dan peluang keampunan kerana ia bertujuan mendidik masyarakat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menyeru rakyat, khususnya umat Islam, untuk menilai pakatan politik yang didakwa menderhaka kepada institusi Raja-Raja Melayu dan meminggirkan ajaran Islam.

“Kita perlu menilai sama ada pakatan ini benar-benar menjunjung kasih atau menderhaka titah Raja,” tegasnya.

Sebelum ini, PKR menyeru BN untuk berdiri teguh menentang sentimen politik yang dicetuskan oleh pesaing mereka.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan semalam bahawa Jabatan Penjara tidak menerima sebarang arahan daripada Lembaga Pengampunan untuk membenarkan tahanan rumah Najib.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, hanya mengarahkan hukuman penjara Najib dikurangkan kepada 23 Ogos 2028, dan dendanya dikurangkan kepada RM50 juta.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
3
ADS