Paling Popular
Terkini

Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa pembubaran pasukan petugas khas pelbagai agensi bagi menyiasat isu berkaitan 1MDB pada 2015 bukanlah atas arahannya.  

Bekas menteri kewangan itu memberitahu Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya hari ini bahawa dia juga tidak pernah mengarahkan pertukaran peguam negara dan ketua pesuruhjaya SPRM pada tahun yang sama.  

Najib mendakwa perubahan tersebut hanyalah langkah pentadbiran dan siasatan 1MDB oleh Bank Negara, SPRM, Jabatan Peguam Negara (AGC), dan polis tetap diteruskan. Keempat-empat agensi tersebut merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas itu.  

“Tuduhan bahawa saya mengambil langkah untuk menyingkirkan ketua pesuruhjaya SPRM dan mempengaruhi penutupan kes 1MDB adalah tidak berasas dan tersasar.  

“Perubahan kepimpinan di SPRM dan Jabatan Peguam Negara adalah sebahagian daripada penyusunan pentadbiran dan tiada kaitan dengan sebarang arahan atau campur tangan daripada saya.  

“Bagi kes (bekas peguam negara) Abdul Gani Patail, saya berhasrat mencadangkan pelantikannya sebagai hakim Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, rancangan itu tidak menjadi kenyataan.  

“Dakwaan bahawa penggantiannya sebagai peguam negara bertujuan untuk menyekat siasatan terhadap 1MDB adalah tidak benar,” katanya dalam perbicaraan kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion melibatkan 1MDB terhadapnya hari ini.  

Mohamed Apandi Ali menggantikan Gani sebagai peguam negara dan memegang jawatan itu sehingga 2018.  

“Selain itu, pengunduran Abu Kassim (Mohamed) daripada SPRM sebagai ketua pesuruhjaya pada 2015 juga adalah keputusan pentadbiran, tanpa bukti menunjukkan saya terlibat dalam penyingkirannya.  

“SPRM meneruskan siasatan 1MDB bawah kepimpinan baru tanpa sebarang gangguan terhadap tugasnya.  

“Adalah penting untuk menegaskan bahawa perubahan kepimpinan seperti ini adalah rutin dalam pentadbiran dan tidak bermaksud terdapat salah laku atau niat jahat,” katanya lagi.  

Dzulkifli Ahmad menggantikan Abu Kassim sebagai ketua pesuruhjaya SPRM hingga 2018.  

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.  

Pada 30 Oktober, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.27 bilion dana daripada syarikat pelaburan negara 1MDB.  

Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib membabitkan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).  

Hakim berkata Najib perlu menjawab pertuduhan tersebut berdasarkan kekuatan keterangan 50 saksi sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan yang berlangsung selama enam tahun sejak 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.  

Sejak keputusan prima facie, Najib tampil membela diri dalam kes jenayah 1MDB tersebut.  

Timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar mengetuai pendakwaan.  

Najib diwakili peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.  

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS