BICARA 1MDB l Bekas perdana menteri Najib Razak secara berseloroh berkata bahawa dia kini boleh mengajar undang-undang selepas melalui beberapa kes mahkamah sejak enam tahun lalu.
Dia yang juga bekas menteri kewangan berkata demikian ketika memberi keterangan semasa perbicaraan kes jenayah pengubahan wang haram berjumlah RM2.27 bilion hari ini.
“Enam tahun ini lebih daripada pendidikan universiti.
"Ketika ini, saya rasa saya boleh ajar kursus bukan sahaja mengenai undang-undang jenayah, tetapi juga undang-undang sivil, dan juga bagaimana undang-undang percukaian boleh disalahgunakan.
“Ini pengalaman pembelajaran yang intensif dan praktikal, walaupun saya tidak akan mengesyorkannya kepada sesiapa," kata Najib yang juga adalah bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB kepada Mahkamah Tinggi yang bersidang di Putrajaya.
Sejak 2018, Najib berdepan pelbagai kes mahkamah, daripada pertuduhan jenayah yang dikaitkan dengan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International, serta saman sivil dua entiti Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) terhadapnya.
Najib juga sedang bertarung di mahkamah sivil dalam percubaan melawan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memaksa bekas perdana menteri itu membayar tunggakan cukai sebanyak RM1.69 bilion.
Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.