Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akaun FB Najib ulang kritikan pada hakim SRC
Diterbitkan:  Jan 7, 2025 12:48 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Akaun Facebook Najib Razak memuat naik satu lagi kenyataan kritikan terhadap hakim perbicaraan SRC International Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Perkembangan itu hadir di tengah-tengah desakan Umno untuk melobi Yang di-Pertuan Agong sekarang untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib atas sabitan dalam kes rasuah SRC.

Dalam catatan itu, laman Facebook Najib mengungkit isu dakwaan konflik kepentingan Nazlan dalam kes SRC International kerana hakim itu pernah bekerja dengan Maybank ketika SRC International - dan siasatan SPRM mengenai perkara itu.

Tulisan itu menyebut bahawa Mahkamah Persekutuan telah menolak siasatan SPRM terhadap Nazlan namun tidak menyebut fakta bahawa mahkamah memutuskan siasatan tidak mengikut prosedur.

Ia juga tidak menyebut bahawa panel Mahkamah Persekutuan yang berasingan turut menolak permohonan Najib untuk meminggirkan Nazlan dan mendapatkan perbicaraan semula dalam kes SRC International.

Sementara itu, laman Facebook Najib juga cuba mengelirukan beberapa perkara dalam kes itu, seperti memetik bagaimana wang yang terkumpul di dalam akaun bekas perdana menteri itu bukan berasal secara langsung daripada SRC International tetapi daripada Ihsan Perdana.

Ia tidak menyebut bahawa Ihsan Perdana adalah cabang tanggungjawab sosial korporat SRC International.

Begitu juga, hantaran itu tidak menyebut bahawa sabitan Najib telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Najib, yang merupakan banduan, tidak sepatutnya mempunyai akses kepada media sosial.

Najib pada asalnya telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bagaimanapun, tahun lalu hukumannya dikurangkan kepada 6 tahun penjara dan denda RM50 juta.

Semalam, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum yang didakwa oleh Agong sebelum ini yang membenarkan Najib menghabiskan baki hukuman penjaran di bawah tahanan rumah.

Surat daripada istana Pahang telah dikemukakan kepada mahkamah, yang mengesahkan bahawa titah adendum itu sahih.

Kementerian Dalam Negeri berkata ia tidak boleh menguatkuasakan titah adendum itu kerana ia tidak pernah disampaikan kepada mereka.

Sementara itu, susulan keputusan mahkamah semalam, presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS