Firdaus Wong memfailkan rayuan terhadap perintah mahkamah sivil bagi menurunkan klip video TikTok yang didakwa menasihati penukaran agama kanak-kanak bukan Islam secara rahsia.
Rayuan pendakwah itu menyasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Dis untuk dia memadam klip video media sosial itu, sementara menunggu pelupusan saman oleh beberapa ibu bapa bukan Islam.
Peguam yang mewakili ibu bapa berkenaan, M Visvanathan berkata bahawa mereka telah diserahkan salinan notis rayuan hari ini.
"Mereka (peguam Firdaus) memfailkan (notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan) pada 2 Jan, Mereka menyerahkan salinan termeterai (kepada kami) hari ini," kata Visvanathan kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Firdaus telah menurunkan video TikTok untuk mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi 3 Okt sebelum ini untuk mengalih keluar video itu.
Rayuannya sekarang adalah terhadap perintah 3 Dis, apabila mahkamah sivil masih mengarahkannya untuk menyimpan video itu di luar talian selepas mendengar hujahnya terhadap perkara ini.
Keputusan pada Oktober itu adalah keputusan yang dikeluarkan secara ex-parte (tanpa kehadiran Firdaus di mahkamah), manakala keputusan Disember dikeluarkan selepas pasukan peguam Firdaus mengemukakan hujah terhadap sebarang pengeluaran injunksi.
Ibu bapa berkenaan menyaman Firdaus untuk memadam secara kekal video TikTok yang didakwa menasihati kanak-kanak supaya memeluk Islam secara rahsia.
Pada Jun lalu, Firdaus memuat naik video di TikTok didakwa menunjukkan dia menasihati seseorang tentang cara menangani permintaan untuk memeluk Islam daripada beberapa remaja.
Video dalam talian itu menunjukkan pendakwah kontroversi itu terlibat dalam sesi soal jawab di sebuah acara.
Untuk rekod, terdapat salah tanggapan mengaitkan sesi soal jawab dengan Firdaus menasihati seorang guru, yang menimbulkan kebimbangan di kalangan bukan Islam mengenai anak remaja mereka di sekolah kebangsaan, sehingga menyebabkan gesaan untuk menghalang pendakwah itu daripada memasuki sekolah.
Bagaimanapun, sesi soal jawab itu tidak melibatkan seorang guru sebaliknya seorang penulis dan pempengaruh TikTok.
Firdaus didakwa ditanya apakah yang perlu dilakukan apabila remaja bukan Islam di bawah umur mahu memeluk Islam.
Firdaus berkata bahawa remaja harus dialu-alukan untuk memeluk Islam, tetapi penukaran mereka tidak boleh didaftarkan atau diumumkan.
Dia juga didakwa berkongsi nasihat bagaimana remaja ini boleh mengamalkan Islam secara rahsia supaya mereka boleh menyembunyikannya daripada orang lain.